Dua buah drama terbitan TV3 sekali lagi mencapai lebih 10 juta tontonan sebelum menjelang bulan Syawal tempoh hari. Fenomena Mak Cun telah menoktahkan musim ketiganya pada 14 Jun dengan tontonan sebanyak 11 juta sepanjang ia bersiaran. Manakala drama Andainya Takdir yang ditayangkan di slot Samarinda telah melabuhkan fenomenanya pada 22 Jun yang lalu dengan jumlah tontonan sebanyak 10 juta sepanjang ia bersiaran. Pencapaian ini sekaligus meletakkan slot Samarinda sebagai penanda aras ratings tertinggi dalam slot drama pukul 10 malam, seluruh negara.
Fenomena Drama Tv3 Meletakkan 10 Juta Penonton Sebagai Penanda Aras
Drama bersiri Mak Cun musim ketiga telah meraih 11 juta penonton bagi keseluruhan 21 episod. Mak Cun musim ketiga ini juga telah mencapai tontonan sebanyak 3 juta pada episod akhirnya pada 14 Jun yang lalu.
Pengarah Mak Cun 3, Bade Hj Azmi mengulas, “Drama bersiri Mak Cun ini tetap meneruskan fenomenanya kerana menaikkan nama Negeri Kedah. Dari jalan ceritanya yang sentiasa membuktikan bahawa masyarakat luar bandar juga mampu untuk berjaya jika diusahakan dengan saluran yang betul. Kerana itu, kami percaya bahawa drama ini tetap relevan kerana nilai masyarakatnya yang tinggi. Oleh itu, kami berharap agar sokongan para penonton tidak akan putus terhadap drama Mak Cun ini.”
Selain itu, drama Andainya Takdir yang telah menjadi bualan hangat di media sosial semenjak episod pertama, telah meraih jumlah tontonan sebanyak 3.5 juta pada episod akhirnya. Drama ini juga telah trending satu dunia di laman sosial Twitter ketika kesemua 16 episod bersiaran.
Menurut Pengarah Drama Andainya Takdir, Along Kamaludin, “Pihak produksi drama ini amat bersyukur kerana para penonton telah memberi sokongan padu kepada drama ini. Kami percaya bahawa kejayaan drama ini adalah kerana nilai-nilai murni yang diterapkan dari naskah Andainya Takdir ini yang bertepatan dengan bulan Ramadan iaitu kesabaran, kasih sayang, kekeluargaan, dan kehidupan masyarakat majmuk. Pihak produksi juga berterima kasih kepada kesemua pihak yang terlibat, baik dihadapan tabir dan dibelakang tabir. Para pelakon telah memberikan komitmen yang amat membrangsangkan sehingga segala babak-babak yang sukar, telah menjadi mudah dan lancar.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my, www.tv9.com.my dan juga www.tonton.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube @TV3Malaysia dan @TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih.