Projek ini dilakukan atas dasar melihat para pelajar university yang terpaksa mengetepikan sedikit perbelanjaan mereka bagi barangan keperluan semasa pandemik ini seperti pelitup separuh muka, dan cecair pembasmi kuman.
Hasil kerjasama pihak Rechange Education Malaysia dan Saya Anak Malaysia, mereka berjaya menyediakan 60 pek penjagaan secara percuma dan dihantar kepada para pelajar universiti di seluruh Malaysia, termasuk pelajar yang berada di Sabah dan Sarawak.
“Projek ini khasnya bertujuan untuk meringankan beban para pelajar universiti yang mungkin menghadapi kekangan dari segi kewangan bagi membeli barangan penjagaan diri sewaktu wabak COVID-19 ini,”
– Mohammad Shahril, Pengasas Rechange Education Malaysia
Sesi pembungkusan pek ini dihadiri oleh 6 orang di Collective co-workspace di Bayu Perdana Klang, masing-masing terdiri dari pelajar universiti yang sudi membantu dalam proses penyediaan pek tersebut dan segala SOP tetap diambil bagi menjamin kebersihan pek tersebut.
Rechange Education Malaysia merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertujuan membantu para pelajar di Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti serta menyediakan mereka pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka.
Saya Anak Malaysia pula adalah organisasi yang menyediakan ruang kepada anak muda terutamanya pelajar universiti untuk menyuarakan pendapat mereka tentang isu-isu semasa di Malaysia serta menggalakkan perpaduan sesama rakyat.