Demikian luah Norlida Hassan, ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat, dipercayai akibat didera.
Tidak dapat menahan sebak ketika dihubungi mStar pada tengah hari Sabtu, Norlida berkata dia terlalu sedih dan masih terkejut dengan berita pemergian anak angkat yang mesra disapa sebagai Amir, yang sudah dipeliharanya selama enam tahun.
mStar pada Oktober tahun lalu menyiarkan kisah Norlida dan keluarganya yang terpaksa menyerahkan semula Amir kepada ibu kandungnya yang menetap di Melaka selepas wanita berkenaan mahu mengambil semula kanak-kanak tersebut.
Video detik perpisahan keluarga Norlida dan Amir yang dikongsikan di Facebook begitu menyentuh hati netizen, apabila memaparkan mereka saling menangis teresak-esak dan berdakapan sebelum kanak-kanak tersebut dibawa pergi.
Menurut Norlida yang menetap di Rawang, Selangor, dia kini baharu tiba di Melaka selepas diminta memberi keterangan oleh pihak polis.
Bercerita saat mendengar perkhabaran duka yang disampaikan suaminya malam tadi, Norlida berkata hatinya begitu luluh mengenangkan cara pemergian kanak-kanak malang berkenaan yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.
“Malam tadi suami dapat panggilan daripada jiran ibu Amir di Melaka. Jiran tersebut beritahu suami, katanya Amir dah tak ada. Katanya, dia dapat tahu Amir meninggal dunia dan ditemui di bilik air.
“Bila suami beritahu saya, ya Allah…. luluh sangat hati ini. Saya terlalu rindu, nak dengar suara dia, nak jumpa dia… tiga bulan tak dengar khabar berita kerana ibu kandungnya ‘control’.
“Sejak serahkan Amir pada Oktober lalu, sempat dua kali saja bertemu. Bapa tirinya akan ambil kesempatan bawa Amir sekali kalau dia nak hantar barang di Kuala Lumpur. Masa itu dia akan beritahu saya dan kami berjumpa di kedai makan.
“Kali terakhir jumpa bapa tirinya bawa Amir pada 7 November. Amir ceria dan gembira sangat. Dia cakap nak sekolah dekat rumah ‘Umi’, nama panggilan untuk saya. Anak-anak saya pun ikut sekali nak jumpa adik bongsu mereka. Kini saya tak berpeluang lagi nak tengok dia, dengar suara dia,” ceritanya dalam nada sebak.
Tambah wanita berusia 50 tahun ini, dia tidak dapat membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh Amir sebelum menghembuskan nafas terakhir memandangkan dia dan keluarga menatang kanak-kanak itu ibarat minyak yang penuh.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana… dari malam tadi, sikit pun saya belum lelap. Saya tahu, saya dapat rasa dia memanggil-manggil ‘Umi’ ketika sakit. Sebab kalau dia jatuh atau sakit, saya lah orang yang akan dicari dulu.
“Kalau tak mampu jaga, tak payah lah ambil Amir. Sebab tu saya rasa terkilan sangat tak pertahankan Amir sebelum ini tapi nak buat macam mana, itu hak mutlak ibu kandungnya.
“Anak-anak saya semua terlalu sedih dengan kehilangan adik bongsu mereka. Amir meninggal dunia di tangan manusia kejam… manusia yang ada hubungan dengannya. Saya berharap sangat keadilan berpihak kepada Amir. Moga pelakunya dapat hukuman setimpal,” ujar ibu kepada lima cahaya mata ini.
Menurut Norlida, dia cuba mengusahakan untuk membawa pulang jenazah anak angkatnya itu untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Rawang.
“Selepas ini urusan bedah siasat jenazah Amir. Saya berharap sangat dapat kebenaran untuk bawa pulang jenazah Amir dekat kediaman keluarga kami di Rawang, supaya dapat ziarah pusaranya selalu,” katanya lagi.
Media pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata pihak polis kini menahan ibu dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 32 dan 38 tahun.
Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan untuk membantu siasatan.
- Sumber: mStar Online
Dera Anak Usia Tujuh Tahun Hingga Meninggal Dunia, Pasangan Suami Isteri Direman
Pasangan suami isteri yang disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia petang semalam di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi terhadap ibu kandung mangsa berusia 32 tahun dan bapa tiri berusia 38 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki dua kenderaan berasingan.
Semalam Astro AWANI melaporkan, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa yang anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Untuk rekod, kisah kanak-kanak itu sebelum ini pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada ibu kandungnya.
Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di laman Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.
Keluarga Angkat Mahu Tuntut Jenazah Amir, Bawa Pulang & Kebumi di Rawang
Kematian seorang kakak-kanak yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya telah mengejutkan banyak pihak terutamanya keluarga angkatnya.
Pastinya keluarga angkat yang membesarkan kanak-kanak dikenali sebagai Zubaidi Amir Qusyairi, 7 itu berasa sangat sedih kerana sudah menjaganya sejak berusia 2 bulan sebelum diminta kembali oleh ibunya pada oktober tahun lalu.
Keluarga angkat mahu tuntut jenazah
Keluarga Norlida Abu Hassan, 48 yang menetap di Rawang Selangor telah bergegas ke Melaka bagi menziarahi jenazah anak angkatnya dilihat tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual media.
Menerusi Facebook anaknya, Tuhfah Nazihah Tarmidi, mereka sekeluarga sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran bagi membawa pulang jenazah Amir ke Rawang.
Susulan daripada itu, Nazihah meminta agar orang ramai dapat mendoakan urusan mereka dipermudahkan kerana mereka begitu menyayangi Amir seperti darah daging sendiri lebih-lebih lagi baru sahaja berpisah 3 bulan lalu.
Video perpisahan mereka sebelum ini juga pernah tular dan kembali menjadi viral selepas adik Amir diberitakan meninggal dunia apabila mayatnya ditemui terlangkup dalam tong air.
Terdahulu, seorang kanak-kanak ditemui maut dirumahnya di Taman Krubong Jaya, Alor Gajah di tong Air dengan beberapa kesan kecederaan di anggota badan.
Menerusi maklumat dari pihak berkuasa, ibu kandung dan bapa tirinya telah direman kerana dipercayai melakukan penderaan kepada kanak-kanak tersebut.