AKTIF FM : SEMPENA GENAPNYA SETAHUN MUZIK AKTIF BERSIARAN
16 Mac 2010 membawa Muzik Aktif bersiaran genap setahun lamanya. Muzik Aktif yang khusus menyiarkan hiburan muzik-muzik video terkini dan pelbagai genre lagu melalui program-program berkaitan muzikal sepanjang masa ini telah menyiarkan muzik video-muzik video artis tempatan yang meliputi pelbagai genre, bahasa, budaya dan etnik di Malaysia.
Pelancaran setahun Muzik Aktif telah disempurnakan oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez bersama-sama Pengurus MUZIKfm, Puan Fee serta Pengurus Saluran TVi, Pn. Zawyah Yusof yang telah diadakan dikonti MUZIKfm pada 16 Mac 2010.
Muaz dan Azura penyampai radio dan hos Aktif FM.
Sempena pelancaran tersebut juga saluran muzik popular Muzik Aktif dengan kerjasama Saluran Radio Nasional MUZIKfm telah memperkenalkan program baru dengan konsep yang lebih menarik untuk penonton setia Muzik Aktif dan para pendengar MUZIKfm melalui program Aktif FM.
Jika sebelum ini suara dua penyampai Radio Nasional, Muaz dan Azura Lisa hanya dapat didengari pendengar melalui MUZIKfm, namun mulai 16 Mac 2010, kedua-dua personaliti RTM ini akan muncul menerusi program Aktif FM yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9.00 hingga 10.00 pagi secara langsung dari Konti Muzik FM yang dapat disaksikan di Saluran Muzik Aktif, Astro 180.
Aktif FM dengan format yang sangat unik dan menarik, iaitu visual daripada radio manakala audio daripada TV dijangka membawa lebih dekat penyampai-penyampai radio nasional agar dekat dihati peminat. Penyampaian Muaz dan Azura yang disiarkan secara langsung dari studio Muzik fm dipenuhi dengan kepelbagaian dan ciri-ciri keistimewaan tersendiri mengikut citarasa pendengar dan penonton.
Puan Fee dan Puan Zawyah memotong kek pelancaran Aktif fm disaksikan Datuk Freddie Fernandez.
Menariknya dalam program Aktif FM ini seorang artis atau personaliti popular diundang ke konti Aktif FM di setiap minggu untuk ditemu bual di samping menghiburkan penonton di kaca TV dengan selingan visual klip-klip video popular tempatan di saluran Astro 180 manakala di saluran MUZIKfm pendengar akan mendengar audio seperti biasa di frekuensi 88.5 mhz (Lembah Klang).
Sementara itu, “Tontonlah radio di TV dan dengarlah siaran TV di Radio” telah diangkat sebagai tagline program baru Aktif FM. Menerusi slot pengenalan Aktif FM yang bersiaran pada 16 Mac, Datuk Freddie Fernandez telah dijemput sebagai tetamu jemputan sekaligus merasmikan siaran pertama Aktif FM.
Jangan ketinggalan untuk menonton dan mendengar penyanyi yang semakin meningkat naik menerusi single pertamanya, “Hujan Bunga Di Kuala Lumpur”, Ana Raffali yang bakal muncul di konti Aktif FM sebagai tetamu undangan pada 25 Mac 2010 kelak.
Datuk Freddie Fernandez bersama pengurus MUZIKfm dan Pengurus TVi disamping penyampai-penyampai saluran MUZIKfm