TV1 SIAR KONSERT GEGAR GENERASIKU HIMPUNKAN ARTIS INDIE MALAYSIA
Pendekatan diambil pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha mendekatkan golongan remaja dengan RTM pastinya meninggalkan impak yang bukan sedikit kesannya apatahlagi pendekatan dilakukan melibatkan aktiviti yang digemari dan menjadi ’kegilaan’ golongan ini dengan penganjuran Konsert Gegar Generasiku yang dilangsungkan rakamannya pada 1 November 2009 lalu.
Aizat
Estranged
Maximus
Anna Rafalli
One Nation Emcee
Diadakan bertempat di Padang Semarak Angkasapuri, Kuala Lumpur, Konsert Gegar Generasiku (Episod 1) disiarkan pada 6 Disember 2009 (Ahad), jam 8.30 malam di TV2 ini ternyata menyokong usaha RTM menyahut seruan kerajaan dalam membantu mengurangkan kadar jenayah jalanan mat-mat rempit khasnya sebanyak 20 peratus pada penghujung tahun 2010 dengan mengambil langkah positif menerbitkan konsert ini.
Konsert diterbitkan Unit Hiburan TV RTM ini menjanjikan persembahan mantap dan bertenaga membariskan artis indie yang tampil menghiburkan penonton dengan lagu-lagu menarik yang kebanyakannya hasil karya ciptaan mereka sendiri termasuklah Pesawat (Mirage / Excuse Me), Maximus (Apa Mahumu / Jadikanlah Rahsia), Estranged (Ketika Ini / Yang Pernah / Masa), One Nation Emcee (Dendangkan / Raja Gelek / Boom Boom Pown), Paper Plane Pursuit (Lupakan Dunia / Revolution), Ana Raffali (Mekanika / Hujan Di Kuala Lumpur) dan Aizat & Band (Fikirlah / Kau Aku / Susun Silangkata).
Ternyata persembahan artis-artis indie Malaysia yang semakin diminati kini mendapat sambutan hangat buktinya dimana ramai pengunjung yang membanjiri Padang Semarak Angkasapuri. Malah mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja ini begitu teruja untuk menyanyikan sama lagu-lagu popular artis-artis kesayangan mereka itu.
Pendekatan mengadakan konsert ini turut mendukung harapan RTM dalam usaha untuk ’meremajakan’ RTM menerusi program-program terbitannya sekaligus mencapai matlamat menjadikan stesen penyiar rasmi kerajaan ini disayangi dan digemari golongan muda. Malah mencetuskan persaingan secara sihat dengan stesen TV swasta yang lain.
Penglibatan kumpulan-kumpulan dan pencipta serta penulis lirik indie yang sedang mencipta nama di negara kita yang mana antara mereka ada yang tidak dikenali di persada muzik mainstream tetapi popular di kalangan mereka pastinya mampu menghimpunkan kelompok peminat genre muzik ini menyaksikan persembahan mereka berhibur bersama sekaligus mengelakkan mereka terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah.
Usah lepaskan peluang menonton Konsert Gegar Generasiku (Episod 1) disiarkan pada 6 Disember 2009 (Ahad), jam 8.30 malam di TV2 ini yang pastinya mengajak anda berkongsi detik-detik manis persembahan mereka dan menyanyikan sama lagu-lagu popular mereka sepanjang satu jam setengah siarannya ini.Â