SEHATI SEJIWA 2011 BERSAMA PENGACARA BARU, AMYZA ADNAN DI TV1
Musim baru, pengacara pun baru. Begitulah situasi yang mewarnai kemunculan program popular Sehati Sejiwa musim baru mulai 2 Januari lalu yang menampilkan pengacaranya iaitu pelakon Amyza Adnan. Dirinya yang pernah menjadi tetamu undangan Sehati Sejiwa pada 24 Jun 2009 yang lalu bersama suaminya, Khairil Izhar diberikan kepercayaan menggantikan tempat Misha Omar yang terdahulu berjaya ‘menghidupkan’ program temubual ini.
Ternyata penampilan pertama Amyza Adnan minggu lalu berjaya mencuri tumpuan penonton bersama tetamu undangan Bienda dan suaminya, Kamarul menceritakan tentang percintaan, perkahwinan dan kemanisan rumah tangga mereka. Malah turut di undang sama Dr. Ahmad Lothfi sebagai motivasi.
Kemunculan Amyza Adnan sebagai pengacara program ini pastinya mengundang persepsi positif orang ramai yang sebelum ini banyak mengemukakan cadangan supaya program ini dilihat lebih sesuai diacarakan oleh pengacara yang sudah berumahtangga kerana isu yang di ketengahkan setiap minggu berkaitan dengan alam rumahtangga.
Bukan itu sahaja, musim baru ini manyaksikan program ini bertukar waktu siaran iaitu setiap Ahad, jam 2.00 petang di TV1. Pastinya ia membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton berpeluang meluangkan masa menyaksikan program terbitan Unit Hiburan TV, RTM ini yang terdahulu pernah bersiaran setiap Rabu, jam 3.00 petang.
Sehati Sejiwa program temubual istimewa khusus untuk tontonan seisi keluarga ini bukan sekadar menampilkan pasangan selebriti bercerita mengenai keindahan dan kemanisan hubungan cinta seterusnya hubungan perkahwinan yang dimeterai mereka malah mereka turut berkongsi saat sukar berdepan dugaan yang dilalui mereka dalam melayari bahtera berumahtangga.
Pastinya Sehati Sejiwa yang pernah menampilkan pelakon muda berbakat, Scha sebagai perantara sewaktu permulaan siarannya dahulu, sepanjang satu jam siarannya bakal menemubual pasangan merpati dua sejoli dengan pelbagai topik menarik termasuk pasang surut alam perkahwinan mereka untuk dikongsi sama oleh peminat setia mereka yang mengikuti program siaran langsung ini.
Selain itu, Sehati Sejiwa diserikan dengan pengisian klip video artis jemputan, sesi temu bual berkaitan kehidupan berumah tangga, keistimewaan pasangan masing-masing, aktiviti masa lapang serta kegiatan seni yang dilakukan pasangan tetamu undangan.
Begitu juga sesekali diselang selikan dengan foto-foto zaman bujang dan perkahwinan pasangan tetamu glamour yang di undang ke studio dalam melengkapkan lagi program santai ini.
Malah menariknya peminat setia pasangan selebriti undangan yang diundang setiap minggu berpeluang membuat panggilan di studio dan berbual dengan mereka.
Justeru kepada peminat setia program Sehati Sejiwa pastikan anda meluangkan masa menyaksikan Sehati Sejiwa setiap Ahad, jam 2.00 petang di TV1.