in

Amylea Azizan, Jay Jay dalam Seikhlas Jasa

MUZIKAL KHAS HARI BAPA : SEIKHLAS JASA DI RTM

Khas didedikasikan buat golongan bergelar bapa, sambutan Hari Bapa yang disambut 20 Jun ini dikongsi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menyiarkan program santai muzikal yang diberi nama Seikhlas Jasa.

Bakal menemui penonton pada 20 Jun 2010 (Ahad), jam 2.05 petang menerusi saluran TV1, program ini dipersembahkan dengan pendekatan berbeza apabila tidak dihidangkan dengan acara nyanyian semata-mata sebaliknya dalam bentuk santai yang diadakan di dalam dewan besar Hotel Palace Of The Golden Horses.

Mengambil konsep yang lazimnya diguna pakai untuk rakaman program Hari Raya, program yang berdurasi selama satu jam itu menampilkan barisan artis yang merentas zaman, di mana ia menyaksikan pembabitan artis daripada pelbagai generasi bermula dari 60-an hinggalah kepada generasi baru di dalam dunia hiburan tanah air.

Berkonsepkan santai, program ini dilihat tampil berbeza kerana pengacaranya Raja Azura akan bergerak dari satu meja ke satu meja untuk menemubual artis yang hadir memeriahkan program ini pendapat mereka mengenai Hari Bapa. Malah bagi memeriahkan majlis, artis undangan turut membawa keluarga masing-masing duduk semeja untuk membuat ucapan Hari Bapa oleh selebriti.

Sebagai memperingati golongan bapa, artis undangan terdiri daripada selebriti bergelar bapa dari pelbagai generasi. Antara artis yang hadir pada petang itu ialah Amyza Aznan, Ropi, Achong, Joey, Lan Kristal, Iqbal (Pilih Kasih), Azza, Rosmah dan Khai, Zainal Alam Kadir dan ramai lagi.

Sementara itu, tetamu pada majlis ini dihiburkan dengan persembahan beberapa penyanyi terkenal tanah air seperti Azharina yang mendendangkan lagu Angel. Turut menyerikan lagi program berkenaan ialah penyanyi yang tidak asing lagi Jay Jay yang mendendangkan lagu Kau Yang Tersendiri.

Bintang kelahiran program realiti, Amyela Azizan turut mengalunkan lagu Akan Tiba pada petang itu sebelum tetamu kemudiannya dihiburkan pula dengan persembahan Fazli Zainal yang mendendangkan lagu Lelaki Ini milik penyanyi kacak Anuar Zain.

Pada majlis ringkas dan santai itu, penyanyi kulit hitam manis Nurul turut diundang menghiburkan tetamu dengan lagunya berjudul Sepenuh Jiwa. Manakala penyanyi terkenal sekitar 60 an, Datuk Jefry Din turut diberi pengiktirafan memeriahkan acara pada petang itu. Beliau mendendangkan lagu popularnya Seruling Anak Gembala. Manakala, Azharina sekali lagi muncul pada persembahan penutup dengan mendendangkan lagu Gitar Berbunyi.

Pastikan anda seisi keluarga meluangkan masa berhibur dengan program Seikhlas Jasa pada 20 Jun 2010 (Ahad), jam 2.05 petang menerusi saluran TV1 kerana bukan sahaja menjanjikan hiburan sebaliknya memberi peluang kepada peminat mengetahui dengan lebih mendalam sejauh mana artis pujaan anda daripada sisi lain sebagai seorang bapa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Lagu Popular Ella di Konsert Ella

Selamat Menyambut Hari Bapa 2010