Pada 23 Februari lalu, penyanyi lagenda rock tanah air, Amy Search dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Projek Amal Selangor dan Kuala Lumpur hari ini menyumbangkan 240 buah buku kepada Perpustakaan Kampung Bukit Mat Inson di Pendang, Kedah.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata program itu merupakan satu daripada cara untuk berbakti semula kepada masyarakat yang banyak menyokong kerjayanya sejak bergelar artis pada tahun 1980-an.
“Sudah 30 tahun saya berada dalam industri muzik, dengan program seumpama ini, dapatlah saya menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan bantuan. Saya dapat tahu kampung ini memerlukan bahan bacaan untuk diletakkan di perpustakaan baharu mereka, jadi sebab itulah kami menyumbangkan buku ini,” – Amy Search.
“Pihak penganjur membuat beberapa tinjauan di kawasan luar bandar dan mendapati kampung ini memerlukan bahan bacaan untuk diletakkan di perpustakaan yang baru sahaja disiapkan pada Februari lalu.”
Sumbangan itu juga merupakan satu daripada program yang dijalankan sempena siri jelajah ‘Amy Search Jelajah Pendang Bersama Komuniti’ yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini. – Bernama