Itu belum ambil kira situasi di mana PKP yang dikuatkuasakan seolah-olah menjadi ‘penjara’ buat segelintir pihak sehingga menjadikan emosi mereka terganggu. Apatah lagi mereka yang tinggal seorang diri dan berjauhan daripada keluarga.
Malah perkara sama dilalui penyanyi Amir Masdi apabila PKP menjadikan dirinya sunyi, bosan, ‘down’ dan keseorangan. Walaubagaimanapun, dia tidak merelakan perasaan negatif ini menghantui dirinya tapi cuba berfikiran positif dengan dibantu sokongan moral orang-orang tercinta di sekeliling.
Ini semua gambaran dan perkongsian yang dipaparkan dalam video muzik (MV) lagu “Esok” yang bakal dilancarkan pada hari Jumaat ini, 19 November 2021 jam 9 malam di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.
Menurut Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, mesej yang cuba diterjemahkan dalam MV itu adalah bagaimana seseorang yang berdepan saat getir dalam kehidupan sepanjang PKP memotivasikan diri agar keluar dari masalah dilalui.
Menariknya, dalam MV ini Amir melakonkan watak individu yang melalui fasa sukar ketika PKP selain menampilkan sejumlah besar ahli kelab peminatnya yang dikenali sebagai AMpire.
“Jalan cerita MV ini dibuat sama macam situasi PKP. Di mana memaparkan kehidupan seorang individu yang tinggal seorang diri sewaktu PKP. Dia bosan, ‘down’, tinggal seorang diri sehingga mencari sesuatu untuk memotivasikan diri. Dari situ dia buat lagu dan terhasillah lagu Esok ini.
“Menerusi MV ini, saya yang berlakon seorang diri. Sebab memang nak nampakkan situasi PKP itu. Tapi saya ada masukkan babak panggilan video secara virtual dengan peminat iaitu AMpire. Sebab ini mesej yang nak disampaikan yang mana walaupun PKP terpaksa duduk seorang diri, ternyata menjadi Amir Masdi masih ada yang ambil kisah pada kita,” katanya.
Bercerita lanjut berkenaan idea MV lagu Esok, Amir berkata ia diinspirasikan daripada kisah beberapa kenalan dan cerita yang disampaikan peminat menerusi mesej di Instagram (DM).
“Diakui sepanjang PKP memang ramai rakan, kenalan dan peminat saya yang tinggal seorang diri dan terkesan. Kebanyakan mereka memang tinggal berjauhan dengan keluarga. Disebabkan itu, mereka sunyi dan cepat ‘down’. Semua perkongsian mereka itu saya jadikan inspirasi untuk dipaparkan dalam MV lagu ini.
“Sebelum menulis jalan cerita MV ini, saya cuba membayangkan bagaimana jika saya berada di tempat mereka. Apa yang saya rasa, bagaimana kehidupan saya dan banyak lagi bermain di fikiran. Dari situ, saya letakkan diri dalam diri orang lain sekaligus cuba fahami perasaan yang dilalui.
“Alhamdulillah, kebanyakan yang berkongsi cerita tidak ada yang sampai mahu bertindak di luar batasan. Mereka hanya luahkan rasa kurang semangat, sedih, emosi terganggu dan tak cukup duit untuk ‘survive’. Semua itu menyebabkan emosi terganggu. Malah, ada orang yang saya kenal jenis ‘happy go lucky’, tapi masa PKP emosinya menjadi ‘down’,” katanya.
Mengenai lagu Esok, ia adalah karya hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri. Single terbaru ini merupakan single ke-8 Amir Masid selepas “Pemilik Cinta”, “Waktu”, “Puas”, “Kau Sakiti”, “Asmara”, “Biru Malam” (bersama Chubb-E) dan “Hari Ini Hari Raya”.
Lagu bergenre ‘modern rock’ terbitan syarikat rakaman Nova Music itu sudah dirakam sejak awal tahun ini dan dilancarkan secara rasmi pada 27 Ogos lalu.
“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat. Sebab ketika PKP semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.
“Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, itu sebab saya minta tolong dia.
“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaru. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih ‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan single Esok dulu,” katanya.
Sejak dilancarkan, Amir gembira apabila single itu mendapat maklum balas positif baik dari kalangan peminat mahupun rakan artis dan pemuzik. Lagu “Esok” juga kini berada di dalam carta Top 40 stesen radio popular ERA FM dan SURIA FM; dan playlist utama perkhidmatan stiming muzik SPOTIFY, APPLE MUSIC dan JOOX.
“Alhamdulillah, sambutan lagu ini selepas dilancarkan sangat bagus. Terima kasih pada semua rakan media yang sentiasa memberikan sokongan. Selain maklum balas daripada peminat, saya juga mendapat respons yang cukup baik daripada rakan pemuzik dan artis.
“Kebanyakan mereka suka dengan melodi sebab unik. Malah, ada juga yang puji kerana ada nilai sentimental. Diakui lagu ini bukan sepenuhnya ‘trademark’ lagu dari saya, sebaliknya ada sisi berbeza yang diketengahkan. Malah saya memang tak nak fokus pada vokal semata-mata, tapi nak lebih pada mesej lagu ini,” ujarnya mengakhiri kata.