Pada jam 9 pagi, hari Sabtu lalu, tanggal 5 Oktober 2013, penyanyi Amir Jahari atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, 21 tahun, telah selamat bernikah dengan tunangnya, Kartini Ismail aka Cik Amni yang berusia 27 tahun di Penview Hotel, Kuching, Sarawak. Budiey dan pembaca Budiey.com ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat Amir dan isteri. Semoga korang bahagia hingga ke anak cucu dan selama-lamanya lah. Amir Jahari dan Amni sebenarnya, sudah bertunang 3 tahun lalu jika anda hendak tahu, pada umurnya 18 tahun ya. Walaupun usia Amir Jahari masih muda iaitu 21 tahun tetapi kalau dah jodoh tidak kiralah berapa usia pun kan?
Tampil dengan busana dan solekan tajaan Famee Abdullah Radzi, pasangan pengantin tampak berseri dengan persalinan dari rona hijau untuk majlis berkenaan.
Menurut pelantun lagu Tanpamu, dia tidak berniat untuk merahsiakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan Kartini dan dia tidak menghebahkan sebab majlis itu hanya dibuat secara kecil-kecilan dan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.
“Saya mengakui tidak menghebahkan tarikh saya akan berkahwin tetapi tidak pula mempunyai niat untuk menyorokkan perkara baik itu daripada sesiapa. Majlis yang berlangsung itu hanya dibuat secara sederhana sahaja untuk keluarga kedua-dua belah pihak.”
Pada majlis itu, Amir telah memberikan mas kahwin berupa seutas rantai dan sebentuk cincin emas manakala RM10 ribu sebagai wang hantaran kepada pihak perempuan. Tiada barang hantaran diberikan oleh kedua-dua belah pihak.
Majlis resepsi diadakan di tempat sama selepas selesai majlis akad nikah untuk kedua-dua belah pihak dan antara tetamu yang hadir termasuklah Aizat dan Amar Andan.
“Alhamdulillah majlis selesai dengan baik dan saya adalah lelaki yang berbeza mulai saat ini. Sukar saya gambarkan perasaan selepas sah menjadi seorang suami tetapi ia sesuatu yang indah.”
Tambah Amir, dia tidak melihat perbezaan umur di antara mereka sebagai masalah kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain. Selepas ini dia dan isterinya akan menetap di Kuala Lumpur dan dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa. Tidak gentar karier nyanyiannya akan merundum selepas berkahwin, Amir berkata, dia percaya dengan rezeki dan yakin ikatan suci yang dilakukannya ini akan memberi berkat kepadanya.
“Cabaran itu sentiasa ada sama ada berkahwin atau pun tidak namun sebagai manusia kita perlu berusaha memajukan diri dan berserah selebihnya kepada Allah.”
Dalam perkembangan sama, Amir berkata, dia dan isterinya akan berbulan madu di Kundasang, Sabah pada minggu hadapan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.
Kredit Foto: Joe Lee (Pengurus Amir Jahari)