Amir Hassan, 24, mengaku terkilan ayah tersayang yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser limfoma, Mei lalu, tidak dapat menyaksikan dia bersaing di pentas program realiti itu.
“Saya dapat tahu mengenai uji bakat musim ketiga Big Stage tiga hari selepas bapa meninggal dunia. Seminggu kemudian saya pergi ke sesi uji bakat itu.
“Sebelum ini, arwah bapa bertanya apakah saya mahu masuk Big Stage, tahun ini. Arwah tahu saya berminat mencuba selepas melihat kawan-kawan saya seperti Andi Bernadee, Kucaimars dan Aziz Harun menyertainya.
“Arwah bapa sudah pergi, baru rezeki saya sampai. Sedih arwah tak sempat melihat saya di pentas Big Stage,”
– Amir Hassan
Pada 5 Mei lalu, Amir kehilangan bapa tersayang, Abu Hasan Abdul Aziz, 65, yang meninggal dunia akibat kanser limfoma di Hospital Kuala Lipis, Pahang, selepas kira-kira sebulan bertarung dengan penyakit itu.
Amir berkata, sebaik mendapat tahu dirinya terpilih bersaing dalam Big Stage, dia pantas berkongsi khabar gembira itu dengan ibu.
“Mama gembira tetapi pada masa sama, mama sedih kerana yang menunggu berita itu adalah arwah bapa. Arwah yang mahu tengok saya beraksi di pentas itu.
“Namun, apabila tidak berkesempatan, hendak buat macam mana?”
– Amir Hassan
Mengenang hajat bapa yang mahu dirinya bersaing di pentas Big Stage, Amir berjanji akan berusaha sebaik mungkin.
“Saya tidak boleh menjanjikan akan berjaya hingga ke pentas akhir, namun, berjanji saya akan membuat yang terbaik. Jika mungkin bukan rezeki saya di pentas ini, ada rezeki lain di luar sana,”
– Amir Hassan
Berkongsi keterujaan, Amir mahu mencari pengalaman dan pendedahan bersaing di pentas Big Stage.
“Saya mahu tahu bagaimana perjalanan seseorang yang menyertai program realiti kerana ini kali pertama saya memasuki program seumpama ini.
“Pada masa sama, saya mahu memperbaiki diri dalam setiap sudut. Mana tahu ada ilmu baharu yang saya boleh timba,”
– Amir Hassan
Penyanyi yang dikenali dengan lagu Gadis Yang Ku Tunggu (GYKT) ini mengaku namanya belum cukup kuat dalam industri muzik tanah air.
“Ramai yang tak perasan saya sebagai penyanyi. Big Stage menjadi landasan untuk membuktikan saya serius menyanyi,”
– Amir Hassan
Selain Amir, barisan penyanyi digelar ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang bertanding pada musim ketiga Big Stage adalah Fadh Majid, Azzam Sham, Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Usop, Qody dan Yamani Abdillah.
Peserta wanita pula adalah Hanie Soraya, Farisha Iris, Nana Sheme dan Sandra Dianne.
Big Stage yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan bermula pada 16 Ogos ini pada jam 9 malam.
Program ini boleh ditonton di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Sumber: BH Online