Berikutan kejayaan single debutnya, tahun 2019 menyaksikan penyanyi yang dikenali sebagai Amir ini kembali dengan single keduanya ‘Gadis Yang Ku Tunggu’ (GYKT), sebuah lagu yang digubah oleh Aizat Amdan dan Mel Ramlan.
Sejak debutnya pada tahun 2018, Amir pernah diberi peluang menjayakan persembahan di pentas Esplanade, Singapura untuk Pesta Raya – Festival Kesenian Melayu dan menjadi pembuka tirai konsert penyanyi pop Britain, Anne-Marie di KL Live pada tahun 2019.
Penyanyi berusia 24 tahun yang memiliki Diploma Komunikasi dan Media dari Universiti Selangor ini juga merupakan salah seorang peserta rancangan realiti Big Stage 2020 yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Bagi mengukuhkan lagi namanya dalam persada seni, bintang yang sedang meningkat naik ini kembali dengan single terbaharunya berjudul “iShy”.
Lagu ini ditulis oleh Amir Hasan dan Mingaling, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik dari kumpulan Hip Hop Malaysia, MassMusic. Berlainan dengan karyanya sebelum ini yang berunsur pop Melayu, “iShy” menyaksikan Amir cuba mengetengahkan muzik berentak urban dalam karyanya.
Bercakap mengenai kolaborasi pertamanya dengan Mingaling dan halatuju muziknya, Amir berkata,
“Sebelum bergelar penyanyi rakaman, saya sebenarnya lebih cenderung ke arah muzik Hip-Hop ketika mula-mula menyanyi dahulu.
Setelah menghasilkan dua lagu berentak pop, saya rasa sudah tiba masanya saya mengambil pendekatan yang berbeza untuk single ketiga saya. Ini adalah kolaborasi pertama saya dengan Mingaling, yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa lagu hits tempatan.
Bekerjasama dengan Mingaling dalam proses rakaman lagu ini telah banyak membantu saya mengasah lagi kemahiran menulis lagu dan meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman muzik saya.”
– Amir Hasan
Mengulas tentang single terbaharunya, Amir berkata,
“Sejak dahulu hingga kini, lelaki selalu dijangkakan untuk mengambil langkah pertama dalam hal mencari jodoh. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang bersifat introvert atau pemalu?
Lagu ini mengisahkan tentang seorang lelaki pemalu yang mencintai seorang gadis dalam diam.
Saya percaya ini adalah kisah yang pernah dilalui oleh kebanyakan lelaki di luar sana, tidak semua lelaki mempunyai keyakinan untuk menyatakan perasaannya. Malahan, bila bercakap tentang kisah menyimpan rasa cinta dalam diam, sesiapa pun boleh melaluinya tanpa mengira jantina.
Saya harap lagu “iShy” ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menyatakan rasa cinta mereka kepada seseorang.
Lebih penting lagi, saya berharap pendengar terutamanya peminat saya dapat menerima baik lagu ini dan terus menyokong muzik saya.”
– Amir Hasan
“iShy” diterbitkan dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 30 OKTOBER 2020 manakala lirik video rasmi “iShy” boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula 30 OKTOBER 2020.