Kemenangan aktres berdarah kacukan India dan Sweden itu menerima pelbagai ucapan tahniah daripada para pengikut di laman Instagamnya.
Namun begitu, dalam ramai-ramai yang memberikan ucapan tahniah, ada juga terselit satu komen yang mempertikaikan kemenangan Amelia yang dikatakannya tidak layak untuk mewakili Malaysia hanya disebabkan dia bukan Melayu.
Individu itu menulis, “Awak bukan Melayu, orang Malaysia sepatutnya menghalang kemenangan orang luar seperti kamu. Kamu mungkin cantik tapi kamu tidak melambangkan kami orang Melayu. Mungkin kemenangan kamu dibiaya oleh orang lain. Senang cerita, awak bukan orang Melayu.”
Tidak duduk diam, Amelia kemudiannya membalas komen tersebut yang dilihat menafikan kemenangan yang telah diraihnya itu.
“Saya sangat sedih komen ini datang daripada orang Malaysia sendiri. Sudah 2019, sepatutnya setiap daripada kita tahu negara kita terdiri daripada kepelbagaian kaum dan etnik yang duduk di bawah satu bumbung. Ya, saya bukan orang Melayu tapi saya dilahirkan di Klang, Selangor oleh ibu saya yang merupakan warganegara Malaysia.
“Walaupun bapa saya orang luar tapi saya dibesarkan dan belajar di negara saya. Malaysia adalah tanah air saya sama seperti kamu dan tiada apa yang lebih membanggakan saya apabila dapat mewakili negara sendiri.
“Saya bukanlah boneka yang boleh dibayar untuk menyampaikan mesej. Saya sama sahaja seperti kamu, warganegara Malaysia,” tulis aktres berusia 24 tahun itu.
Menerusi ruang komen, ramai selebriti tempatan turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan Amelia seperti Puan Seri Tiara Jacquelina, Marsha Milan, Amber Chia dan Ning Baizura. –