amaxmall.com (amaxMALL) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), PEMANDU Associates Sdn. Bhd. (PEMANDU), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Melalui kerjasama strategik tersebut, ia menjadikan amaxMALL sebagai platform e-dagang yang dipercayai, lengkap dan peneraju dalam memasarkan jenama generasi baru rentas sempadan.
amaxMALL Umum 4 Rakan Kerjasama Strategik
“Inisiatif terbaharu ini disasar mengiktiraf amaxMALL sebagai platform e-dagang pilihan usahawan mikro, jenama tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekaligus membolehkan produk mereka dipasarkan secara meluas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Asiaspace Sdn. Bhd., Datin Dr. Nik Sarina Hashim.
Dr. Nik Sarina berkata, platform kondusif seperti amaxMALL menggalakkan perniagaan tradisional, terutama PKS dan usahawan mikro beralih ke bidang e-dagang bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital. Beliau berkata demikian dalam majlis memperkenalkan wajah baharu laman sesawang amaxMALL di ibu negara, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Dato Basaruddin Sadali dan Pengerusi Asiaspace Sdn. Bhd., Datuk Abdul Ghani Abdullah.
Inisiatif terkini perkasa sektor e-dagang PKS dan usahawan mikro
Dalam majlis tersebut, amaxMALL yang dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh Asiaspace Sdn. Bhd. turut menyaksikan transformasi dari laman pasaran atas talian (online marketplace) ke platform e-dagang (e-commerce platform).
“Kami di amaxMALL akan sentiasa membantu para usahawan tempatan untuk mengembang e-dagang di Malaysia dengan menawarkan iklim e-dagang yang lebih baik dan latihan intensif kepada mereka selain pemasaran gerila menerusi platform digital,” kata Dr. Nik Sarina.
Dengan lebih 700 vendor berdaftar, amaxMALL menawarkan 6 kategori iaitu fesyen, teknologi, makanan, keibuan, kecantikan dan keperluan rumah untuk penghantaran ke seluruh negara. Bagi meningkatkan mutu dan kecekapan penghantaran produk kepada pelanggan, amaxMALL juga menubuhkan saluran penghantaran khas yang dikenali sebagai amaxtapau.
Tentang amaxMALL
amaxMALL yang diasaskan Asiaspace Sdn. Bhd. mula beroperasi sebagai online marketplace pada Julai 2015 menghimpunkan vendor dan janama usahawan mikro di bawah satu bumbung menerusi penawaran dan penghantaran produk dan memenuhi gaya hidup pengguna tempatan dengan piawaian antarabangsa.
amaxMALL dipilih KPDNKK sebagai pusat membeli belah maya Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) melalui Program Projek Permulaan (EPP) 7. Kini dengan lebih 700 vendor usahawan mikro dan PKS, amaxMALL disasar menjadi hab platform e-dagang usahawan KPDNKK, FELDA dan MARA selain usahawan bebas. Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada PEMANDU.