Berhubung iklan di Facebook yang menggunakan akaun Dayang Company, pelakon Amar Baharin, 36, menafikan dia ada kaitan dan berkata, pihak terbabit menggunakan gambarnya tanpa kebenaran untuk tujuan publisiti. Dalam masa sama, Amar turut berharap orang ramai tidak terpedaya atau percaya dengan iklan itu.
“Saya dapat makluman daripada rakan-rakan di Facebook dan Instagram mengenai kewujudan hantaran itu. Sebelum terlambat, saya perlu buat pendedahan ia adalah palsu.
“Saya perlu maklumkan yang saya tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung. Juga tiada kebenaran diberikan kepada pihak berkenaan untuk menggunakan gambar saya,” katanya.
– Amar Baharin
Pelakon drama bersiri ‘Hati Yang Dikhianati’ itu juga berharap orang ramai ambil pengajaran untuk tidak mudah percaya dengan taktik skim penipuan sebegitu.
“Hantaran saya ini lebih kepada peringatan untuk rakan-rakan di media sosial media mengenai bahayanya pelaburan atas talian yang tidak pasti kesahihannya.
Diharap semua tidak mudah terpedaya dengan tipu helah ‘scammer’ yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini,”
– Amar Baharin
Amar sebelum ini memuat naik mengenai iklan palsu yang menggunakan gambarnya, menerusi laman Instagram.
*Sumber: Harian Metro