Begitulah apa yang dilakukan oleh pelakon, Amar Asyraf Zailuddin atau lebih dikenali sebagai Amar Asyraf yang kini mula mendekati agama demi mengubah hidupnya secara positif dan memberi tumpuan terhadap aspek kerohanian.
Memetik laporan Harian Metro, Amar mengakui bahawa dia bersyukur kerana Allah masih menyayanginya sehingga memilih dirinya untuk mendalami ilmu agama.
Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, segelintir rakan artis memang sudah lama mengajak dirinya untuk menyertai jemaah dakwah, tetapi dia sahaja yang kurang berminat.
Namun setelah dua tahun berlalu, baru-baru ini Allah ‘memanggilnya’ dan terbuka hati untuk menyertai jemaah berkenaan.
“Saya membiarkan diri digoda syaitan. Alhamdulillah, saya akhirnya tekadkan hati dan berjaya ke program yang berlangsung di sebuah lokasi baru-baru ini.
“Perasaan saya sukar digambarkan. Pertama, saya sedar banyak perkara yang saya tidak tahu sebagai seorang manusia,”
– Amar Asyraf
Dalam pada itu, pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu menegaskan perubahan dirinya itu bukan kerana kontroversi yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Terdahulu, dia terpalit dengan kontroversi apabila perkahwinannya dengan isteri kedua Vivi Jefry terbongkar menerusi pendedahan seorang wanita yang mendakwa hampir berkahwin dengan pelakon tersebut.
Pemilik nama Amar Asyraf Zailuddin itu kemudiannya menceraikan Vivi dengan talak tiga pada 4 November 2019.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama Arna Salleh pada 2013, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Taufiq dan Ammara Dian.
*Sumber: Harian Metro