Aman Ra berkata, dia lebih selesa hal peribadi hanya untuk dirinya dan tidak diperkatakan di mana-mana.
“Saya masih lagi memegang status sebagai suami. Namun saya lebih selesa sekiranya hal peribadi disimpan untuk diri sendiri dan segala hal berkaitan kerjaya saya akan kongsi secara terbuka. Bagi saya cara itu lebih mudah untuk saya sebagai insan atau erti kata lain saya tak mahu komen,” katanya.
Aman Ra atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, 33, berkata, dia juga terpaksa akur sekiranya hal berkaitan rumah tangga akan menjadi tular walaupun ia bukan keluar dari mulutnya.
“Saya tak boleh nak buat apa-apa. Ia di luar kawalan saya. Namun, kalau ia menggugat sebagai insan, saya akan terasa. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya ingin kehidupan peribadi kekal menjadi sesuatu yang privasi,” katanya.
Terdahulu teka-teki status penyanyi rap ini terjawab apabila dia mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga.
Penyanyi lagu Bangun itu sebelum ini jarang mendedahkan kisah peribadi termasuklah mengenai anak-anaknya untuk perhatian umum.
Hasil perkongsian hidup, Aman dan isteri dikenali Atikah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ratu Raiqa dan Tuah Khalifa.