Bagi Aman, 28, semua dugaan itu menjadi pembakar semangat untuk dia terus berjuang memperkasakan namanya sebagai anak seni. Selagi masih ada permintaan, anak kelahiran Melaka itu tidak akan sesekali meletakkan noktah kerana cintanya terhadap kerjaya seni masih mendalam.
Hampir dua tahun menyepi, naib juara Akademi Fantasia musim ke-11 yang pernah popular dengan lagu Sulit itu kini tampil dengan single terbaru, Tunggu Lama. Aman berkata, idea penghasilan lagu itu tercetus ketika dia ‘terperangkap’ di Melaka, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.
“Saya buntu apabila beberapa projek dibatalkan dan aktiviti kerjaya seni pula terhenti. Tanpa persediaan rapi, saya agak bergelut meneruskan hidup. Banyak perkara yang bermain di fikiran ketika itu, apatah lagi kedudukan sebagai penyanyi masih belum kukuh.
“Saya tertanya-tanya sendiri apakah saya dapat kembali bangkit meneruskan langkah dalam bidang ini. Ketika saya keliru dalam mencari haluan hidup, pengurus banyak memberikan input.
“Dia memberi cadangan supaya saya cuba dan belajar menghasilkan melodi. Kami banyak berbincang dalam mencari hala tuju baharu dalam kerjaya muzik saya. Bertitik tolak dari situ, akhirnya Tunggu Lama direalisasikan,” kata Aman.
Memandangkan dirinya masih amatur dari sudut penciptaan lagu, Aman mendapatkan khidmat Amzar Razqa bagi mengolah dan mencantikkan lagi struktur single yang menyuntik nuansa muzik Latin dan K-Pop.
Aman mengakui, dia banyak belajar pelbagai perkara baharu dalam penghasilan single kelimanya itu, terutama dari sudut penghasilan melodi. Malah, akui Aman, proses di sebalik tabir menuntut kesabaran yang sangat tinggi.
“Paling mencabar pastinya untuk mencari idea dalam penghasilan melodi kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan. Apatah lagi, single ini saya anggap umpama penentu masa depan saya dalam industri muzik.
“Tunjuk ajar daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman sangat penting. Tanpa kerjasama secara berkumpulan dan tolak ansur antara satu sama lain, sukar untuk merealisasikan penghasilan Tunggu Lama.
“Apabila bekerja secara berpasukan, setiap kami mempunyai cara dan pandangan yang berbeza. Di sini pentingnya untuk mencari titik persamaan supaya lagu yang dihasilkan memberi kepuasan kepada semua yang terlibat,” katanya.
Tunggu Lama yang dipendengarkan di platform Joox bermula 18 Oktober lalu adalah cetusan idea bersama Amsyar Razqa, Saballa, Acu Panakorn dan Aman Aziz, manakala lirik pula sentuhan bersama Amzar & Amsyar Razqa, Acu Panakorn dan Aman Aziz.
Bercerita mengenai penghasilan melodi Tunggu Lama, Aman berkata, dia banyak membuat rujukan dengan mendengar lagu nyanyian idol dan penyanyi solo dari Korea Selatan seperti Chen daripada EXO, kumpulan NCT serta mendengar OST K-drama popular.
“Dari situ, saya cuba menghasilkan melodi untuk disesuaikan dengan pasaran muzik di negara ini. Saya turut mendengar lagu tempatan yang mendapat tempat di hati peminat, terutama remaja.
” Lagu ini juga banyak menceritakan pengalaman saya sendiri, terutama cabaran bertahan dalam industri muzik ketika dunia masih bertarung dengan pandemik. Cuma, liriknya diubah sedikit kepada tema cinta untuk mendekati peminat muda,” katanya.
Aman berkata, Tunggu Lama memberinya semangat baharu untuk terus bangkit mengejar cita-cita, selagi bakatnya masih diterima.
“Saya bertekad untuk bangkit dan teruskan perjuangan didorong oleh keinginan serta keyakinan bahawa jika kita berusaha, pasti akan ada sinarnya pada kemudian hari.
“Dalam hal ini, saya berterima kasih kerana mereka yang terdekat yang sentiasa percaya saya mampu melakukannya dan tidak jemu memberikan dorongan untuk melihat saya berjaya,” katanya.
Mengakui berpuas hati dengan usaha terbarunya itu, Aman berkata, dia kini menyusun pelbagai strategi untuk memastikan Tunggu Lama mampu mengulangi pencapaian Sulit.
Selain promosi di pelbagai media cetak dan elektronik, Aman juga memberikan fokus kepada siri promosi di media baharu selain platform streaming digital untuk memastikan Tunggu Lama menjangkau kelompok pendengar yang lebih besar.
“Populariti lagu Sulit terlalu kuat sehingga memberi impak terhadap dua single yang saya hasilkan selepas itu. Banyak faktor yang menyebabkan kemunculan saya selepas Sulit tidak menambat hati peminat seperti kurang promosi, selain masalah dalaman,” katanya.
Sebagai tanda terima kasih terhadap peminat yang masih setia bersamanya, Aman berjanji untuk lebih fokus terhadap perjalanan kerjaya nyanyiannya dengan menghasilkan lebih banyak lagu baharu, termasuk bekerjasama dengan komposer lain.
“Saya juga akan menyertai kelas lakonan dan nyanyian untuk memantapkan lagi bakat. Dengan kemunculan single terbaru ini, saya berharap dapat berpeluang meneroka industri hiburan dengan lebih agresif lagi.
“Saya bersedia untuk kembali berlakon, malah mengimpikan peluang beraksi dalam drama berepisod kerana saya ingin mencari cabaran baharu serta kepuasan diri,: katanya.