Lelaki itu mendakwa menjalinkan hubungan dengan anak aktor legenda, Allahyarham Azmil Mustapha awal tahun ini, tetapi mengambil keputusan memutuskan hubungan berikutan mendakwa Alya ‘pisau cukur’. Bagaimanapun, anak bongsu arwah Azmil itu menafikan menerima wang jutaan ringgit daripada mana-mana pihak.
Alya berkata, dia tidak mengenali lelaki yang mendakwa pernah menjalin hubungan dengannya hingga sanggup menabur jutaan ringgit sepanjang percintaan.
“Saya sedar melakukan kesilapan dan mahu memperbetulkan keadaan. Bagaimanapun, saya tak pernah menerima wang berjumlah RM2.3 juta seperti didakwa. Saya tak mengenali lelaki yang mendakwa bekas teman lelaki.
“Saya risau dakwaan yang tidak masuk akal ini boleh menjejaskan kehidupan harian, apatah lagi saya baru sahaja bekerja di bahagian komunikasi korporat syarikat swasta selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),”
– Alya Iman
Sebelum ini, kisah Alya menjadi tular apabila seorang wanita yang juga isteri kepada usahawan dikaitkan dengan gadis tinggi lampai itu membongkar hubungan sulit suaminya menerusi laman sosial, Instagram (IG) Story, Jumaat lalu.
Menggelarkan Alya sebagai ‘home wrecker’ atau perosak rumah tangga dalam sekeping gambar Alya yang dimuat naik dalam IG Story, wanita itu mendakwa suaminya sudah setahun menjalin hubungan dengan anak pelakon Ali Setan itu.
Bagaimanapun, Alya tampil menjelaskan, dirinya sudah bertunang dengan lelaki berkenaan, sebelum memutuskan ikatan selepas mengetahui hubungan tidak diketahui dan dipersetujui isteri lelaki berusia 30 tahun itu. Ekoran itu, ruangan komen IG Alya ‘diserang’ pengguna laman sosial.
Alya mendakwa, dia mengenali bapa kepada dua cahaya mata itu pada Jun 2019. Mengenali lelaki itu atas urusan kerja ketika bertugas sebagai ejen produk kesihatan, lelaki itu kemudian melamarnya dan mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu, sempena ulang tahun kelahirannya.
“Dia mendakwa isterinya tahu mengenai kehadiran saya dan menerima hubungan kami seadanya. Jadi, saya tidak malu pergi ke pejabat bekas tunang mahupun keluar bersama.
“Saya hanya mengetahui kewujudan saya tidak diketahui apabila isterinya menghubungi sewaktu saya ada bersamanya, Mac lalu. Bagaimanapun, bekas tunang menyatakan sedang bermesyuarat.
“Selepas insiden itu, saya mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan cara baik, namun kami masih berkomunikasi. Bagaimanapun, saya sudah memulangkan semua hadiah pemberiannya menerusi pengawal peribadi,”
– Alya Iman
Menjelaskan dakwaan keluarga tidak hadir hadir majlis pertunangan pada Februari lalu, Alya mendedahkan, ibu kandung dan kakaknya menghadiri majlis berkenaan. Alya turut mengemukakan bukti, namun meminta gambar berkenaan tidak disiarkan untuk menjaga sensitiviti.
Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil mendakwa, hubungannya dengan adik beradik tidak begitu akrab selepas pulang dari Syria pada 2012. Abang dan dua dua kakaknya membawa haluan masing-masing.
“Saya hidup berdua bersama arwah Babah hingga beliau meninggal dunia pada 2018. Saya mula bekerja sebagai model pakaian dan hanya bersekolah dari rumah sejak 2014. Saya kena bekerja untuk menampung kehidupan bersama arwah, di samping membiayai kos rawatan untuknya.
“Sebelum arwah Babah meninggal dunia, saya diamanahkan kepada ibu bapa angkat. Jadi, hubungan saya dan ahli keluarga lain bukanlah seperti keluarga biasa,” dakwanya.
– Alya Iman
Pelakon drama Senafas Rindu dan Gaun Pengantin Ivory itu mengakui, cukup terkesan dengan kontroversi yang menghimpit dirinya.
“Saya sedih dengan apa yang berlaku dan menjadikan kontroversi ini sebagai pengajaran paling berharga.
Bagaimanapun, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus melangkah dalam dunia seni kerana lakonan kini menjadi mata pencarian saya,” katanya.
– Alya Iman
Mengulas tidakkah bimbang kontroversi berlaku akan memberi impak kepada perhubungannya pada masa akan datang, Alya berkata, dia reda dengan apa sahaja rintangan yang mendatang.
“Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua pihak. Saya tak berniat mahu mengaibkan sesiapa, tetapi saya perlu memberikan penjelasan menerusi saluran yang betul.
“Saya juga sudah mendapatkan nasihat peguam, tetapi mengambil keputusan tidak mengambil sebarang tindakan buat masa ini.
“Saya faham situasi berlaku dan amarah sesetengah pihak dan netizen kerana kesilapan dilakukan. Saya terima nasihat, kecaman dan ‘provokasi’ yang dilemparkan netizen dengan hati yang terbuka,”
– Alya Iman
Alya adalah anak bongsu arwah Azmil menerusi hasil perkahwinan kedua. Alya mempunyai tiga adik-beradik lain, Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha dan Muhammad Bazli Zhafri. Menerusi perkahwinan pertama, Allahyarham memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan, Nur Shamira.
Sumber: BH Online