in ,

Alvin Chong Artis 360 Universal Music Malaysia

MEMPERKENALKAN ARTIS 360 TERBAHARU UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA, ALVIN CHONG!

Selepas bertahun mengurus dan mengembangkan karier sendiri, artis berbakat Alvin Chong secara rasminya menyertai Universal Music Malaysia sebagai Artis 360 syarikat rakaman ini!

Artis 26 tahun itu, yang menandatangani kontrak bersama Universal Music Malaysia pada penghujung 2017 berkata, kariernya berkembang dengan baik sejak itu.

Sekitar Sidang Media Alvin Chong Artis 360 Universal Music Malaysia

“Tidak sukar membuat keputusan ini kerana Universal Music ibarat keluarga saya sendiri,” jelas Alvin yang mencipta nama menerusi drama TV kesukaan ramai, ‘Suri Hati Mr. Pilot’. Pelakon dan penyanyi ini juga mengakui, jadualnya semakin padat sejak menyertai Universal Music.

“Yang bagusnya sekarang, saya tidak perlu lagi serabut memikirkan perkara-perkara penting kerana Universal Music banyak membantu saya dari segi itu. Dahulu saya sendiri yang terpaksa menyelesaikan segala macam hal, selain mengatur temu janji dan membuat persembahan sendiri.”

Baru-baru ini, Alvin telah melancarkan single “We Got This” bersama Isabela Vinzon, naib juara The Voice Teens Philippines 2017. Video muzik rasmi lagu itu bakal bertemu peminat pada 29 Jun.

Dalam pada itu, Alvin juga dalam proses mengeluarkan satu lagi lagu, kali ini bersama penyanyi Indonesia, Dea Dalila. Lagu berjudul “Mencintaimu 99%” itu bakal dilancarkan pada 6 Julai, dan bertujuan untuk pasaran Indonesia.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong berkata, pemilihan Alvin amat mudah, kerana mereka melihat potensi besar yang dimilikinya.

“Alvin memiliki banyak kebolehan dan kami tahu bakatnya akan terus berkembang. Kami sudah pun bekerjasama dengannya melalui kolaborasi di Filipina dan Indonesia, serta merancang untuk menyasarkan pasaran besar lain di Asia Tenggara, termasuk China, Taiwan dan Hong Kong, dalam masa terdekat.”

Meskipun jadualnya padat, penyanyi itu baru-baru ini diumumkan sebagai duta jenama Kia, Vivo Malaysia dan Fujifilm, selain terlibat dengan pelbagai kempen bersama jenama seperti Certina dan Bodyholic.

Dengan bakat dan kebolehan yang dimiliki, Alvin Chong pastinya nama yang perlu diberi perhatian kerana diyakini mampu menakluk rantau ini!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TULUS

Penyanyi Indonesia Tulus Lancar Album MONOKROM di Malaysia

Uji Bakat Terbuka Asia’s Got Talent di Taylor’s University, Kuala Lumpur