Selepas kejayaan besar album Kotarayaku pada 2014, Altimet kembali mengejutkan para peminat dengan lagu baru dan muzik video yang diberi nama SERU.
Lagu single terbaru oleh Altimet, SERU membuktikan kebolehan beliau menyajikan susunan kata yang puitis disulami irama yang padu dengan iringan muzik yang hebat. Meskipun irama yang mengasyikkan, namun intipati lirik yang penuh makna tetap tersemat.
ALTIMET’S SERU – SERUAN SEMANGAT TERDAHULU
Baris kata seperti “Aku disekolahkan MC zaman silam”, dengan jelas beliau memberitahu umum akan perjuangannya sebagai memberi penghormatan kepada perintis hip hop yang terdahulu. Mungkin ada yang pernah mencuba tapi gagal, tetapi berkat usaha dan kegigihan Altimet yang tidak kenal lelah, beliau berjaya menambat hati pendengar meskipun liriknya yang tajam dan tepat.
Produksi dan komposisi lagu oleh Emir Hermono, dan lirik sudah pasti oleh Altimet sendiri, video SERU benar-benar menggambarkan bagaimana perasaan sebenar yang ingin disampaikan kepada peminat – suasana suram bersama api kemarahan yang terpendam.
Muzik video oleh TheMalaya TV dari Paranormalaya Productions Sdn Bhd, yang diarahkan oleh Zalhilman Ismail dan diedit oleh Azuan Adnan, dibarisi pelakon-pelakon “luarbiasa” seperti tarantula, ular, kucing dan juga burung hantu yang diberi nama Bobo. Saksikan juga sepasang kasut jenama tersohor terbakar di dalam salah satu petikan di dalam muzik video ini!
Bagi pembelian online SERU boleh didapati di iTunes dan Spotify. Saksikan muzik video SERU di laman sesawang rasmi Altimet – www.altimet.com.my
TENTANG ALTIMET
Altimet seorang perintis dalam dunia hip-hop, penyanyi dan penghibur dari Kuala Lumpur, Malaysia. Suara beliau yang unik dan “flow” yang pasti mudah dikenali diiringi lirik lagunya yang kadangkala “pedas” berjaya menambat hati ramai pendengar di luar sana dari segenap lapis usia, darjat dan bangsa. Album sulung beliau, “Kotarayaku” menempa sejarah apabila lagu “Kalau Aku Kaya” memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-28.