Pengumuman pelancaran album terakhir ALTIMET berjudul ‘O’ akan berlangsung 27 November ini bersempena dengan hari jadi beliau. Album ini adalah sebagai hadiah terakhir kepada peminatnya sebelum meninggalkan dunia hiburan.
Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman berkata album yang akan memuatkan lebih 10 buah lagu itu menceritakan perjalanannya sebagai anak seni yang bermula pada 2000.
“Album itu akan menjadi titik noktah sebelum saya bersara. Tajuk album itu adalah ‘O’ yang bermaksud kembali kepada titik permulaan. ‘O’ itu seperti bulat penuh dan ia bermaksud sempurna atau tamatnya cerita saya sebagai penyanyi dan penghibur.”
“Album itu juga seperti filem berbentuk audio iaitu kalau kita dengar dari awal hingga akhir kesemua lagu di dalam album itu akan ada jalan cerita, lebih kurang seperti perjalanan karier saya dalam dunia seni,”
Budiey mendapat tahu daripada satu jemputan yang dihantar oleh label dan wakil PR iaitu di bawah label Kartel dan Warner Music. Okay diulangi sekali lagi, event ni baru pengumuman ya, bukannya pelancaran lagi. Budiey pun tak pasti apa agenda dan aturcara event ini.
Kemungkinan besar, media yang hadir akan diperdengarkan rangkaian lagu-lagu terbaharu dari Altimet. Ramai yang menjangkakan lagu-lagu tersebut adalah lagu kompilasi daripada single Altimet sebelum ini. Cuma mungkin ditambah dengan beberapa lagu untuk melengkapkan menjadi album.
Selepas ini, Altimet akan bekerja di belakang tabir dan tak mahu lagi buat show untuk tontonan peminat. Ini kerana Altimet mahu membuka ruang untuk penyanyi hip hop yang muda-muda untuk menonjolkan diri mereka.
“Saya tetap dengan keputusan saya iaitu selepas keluarnya album ini saya tidak akan merakam lagu atau membuat persembahan lagi. Album itu akan keluar bersempena tarikh lahir saya pada 27 Nov nanti dan serentak dengan itu saya akan bersara,”
Apabila diminta mengulas mengenai punca beliau ingin bersara, Altimet berkata beliau ingin mencabar dirinya sendiri dan keluar dari zon selesa malah tidak timbul isu kecewa atau tawar hati dengan industri hiburan.
“Apa yang saya dapat dalam industri ini lebih daripada apa yang saya berani mimpi masa saya mula dulu jadi buat apa saya nak kecewa.
“Saya mahukan cabaran baharu, saya seorang yang ketagih dengan cabaran dan saya ada satu senarai cabaran yang saya nak lakukan. Bila saya bergerak dalam industri ini, hampir semua saya dah buat jadi saya rasa saya perlukan cabaran baru untuk terus mendorong saya ke hadapan (to keep me motivated),” katanya.
Jelasnya, beliau ingin terus mengembangkan bakat dalam bidang penulisan lirik selain mencuba bidang perniagaan selepas bersara nanti.
“Saya nak buat penulisan lirik lagu untuk artis-artis lain dan dalam pelbagai genre. Saya tidak boleh tulis lagu hip hop sahaja sebab itu zon selesa saya, saya nak keluar dari zon itu.
“Persaraan ini juga satu keputusan untuk keluar dari zon selesa sebab saya tidak boleh nak memajukan diri kalau saya terus duduk dalam zon selesa saya. Saya juga masih melihat dan mencari jenis perniagaan apa yang saya boleh lakukan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Altimet turut menggalakkan kehadiran pendatang baharu kerana baginya kedatangan mereka dalam bidang seni ini akan terus dapat mempromosi dunia hiburan negara.
“Orang baharu akan sentiasa hadir, itu yang kita perlukan sebab kita perlukan orang baharu untuk menolong kita promosikan sesuatu cabang seni itu tidak kisahlah seni suara, rakaman, visual atau tulis. Lagi ramai lagi bagus, dengan hadirnya kuantiti akan hadirnya kualiti,” katanya.