Pada hari Rabu, 17 September lalu, jam 2 petang, sekumpulan remaja yang menamakan diri mereka Al-Manna telah mengadakan Majlis Kesyukuran dan Pelancaran Album Selawat Kita Semua di Mega View Banquet, Menara Kuala Lumpur. Budiey di sini ingin memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri di majlis ini. Namun, dari apa yang Budiey lihat kemaskini dari laman Facebook milik Al-Manna segalanya berjalan lancar, meriah penuh gemilang. Alhamdulilah dan tahniah buat semua anggota Al-Manna.
[dropcap]A[dropcap] lbum ini mempertaruhkan single pertama Al-Manna adalah Selawat Kita Semua yang dihasilkan oleh vokalis kumpulan nasyid UNIC, Bazli selaku komposer. Muzik video lagu yang menggalakkan kita berselawat ini juga sudah pun siap dan anda boleh tonton di Youtube. Klik play di ruangan video kat atas ni ya.
Mungkin nama Al-Manna agak asing bagi pembaca memandangkan Budiey sendiri juga baru sahaja berkenalan dengan kumpulan ini. Untuk pengetahuan pembaca Budiey.com, Al-Manna adalah kumpulan nasyud yang ditubuhkan pada tahun 2012 telah dirintis melalui penubuhan sebuah syarikat yang dianggotai oleh Muhammad Firdaus Arshad, Fahimi Indra Pramanta Didi Indra, Mohd. Shahnizam Mohd. Sa’ad dan Mior Muhammad Ariff Mior Mokhtar sejurus keempat-empat remaja tersebut menamatkan pengajian di salah sebuah institut pengajian tinggi Islam di Lembah Klang. Syarikat Al-Manna Solution telah ditubuhkan dengan teras perniagaan terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan nasyid, motivasi dan perundingan serta jualan busana Muslim.
Mungkin ramai yang anggap kumpulan Al-Manna ini adalah artis di bawah naungan label UNIC Records memandangkan ia diterbitkan oleh Bazli UNIC dan rakaman album juga dibuat di studio milik UNIC Soundroom. Namun, sebenarnya Al-Manna sudah pun dapat berdikari dengan label sendiri di bawah syarikat mereka sendiri iaitu Al-Manna Solution.
Album pertama ini akan memuatkan lima buah lagu baharu yang semestinya berunsur ketuhanan dan kerohanian. Selain lagu Selawat Kita Semua, album ini memuatkan lagu Cinta Allah Sayang Allah, Sahabat, Qasidah Subhanallah hasil kolaborasi bersama Bazli UNIC dan Zikir Pagi Hari.
Sedikit rebiu album yang Budiey petik dari Blog StudioKini
1. Qasidah Subhanallah (feat Bazli UNIC) : Pembukaan album menerusi lagu ini meletakkan imej bagi album ini ialah nasyid kontemporari. Terubat rindu untuk dengar lagu-lagu sebegini. Tak salah saya katakan track ini meletakkan al-Manna sebagai kumpulan nasyid sebenar!
2. Selawat Kita Semua : Lagu yang rancak,santai tapi bermesej. Tengok pada judul pun kita tahu lagu ini mengajak kita berselawat ke atas Rasulullah.
3. Sahabat: Lagu ini mengingatkan saya kepada kumpulan UNIC pada awal kemunculan mereka dahulu. Entah kenapa.Mungkin dari aspek kekuatan vokal. Aspek muzik, rasanya perlu diperbaiki. Muziknya seolah mendatar.
4. Zikir Pagi Hari: Sebuah zikir yang disampaikan secara acapella. Bila terdengar alunan zikir, saya fikirkan ini track dalam album Doa (UNIC). Hehehe…Tapi syabas, sebab acapella memang mantap!.
5. Cinta Allah Sayang Allah : Lagu pilihan saya! Memang dinanti sebuah lagu yang rancak seperti ini. Muziknya yang segar, susunan vokal yang harmoni. Kali ini tiada bayangan UNIC.:-)
6. Selawat Kita Semua (instrumental) : Sekadar minus one. Sesuai digunakan untuk tayangan slide show program-program dakwah. Ini pengakuan jujur, sebab lagunya yang rancak, ada turun naik.
Perancangan Al-Manna seterusnya adalah mengumpul bahan untuk merakam album kedua yang dijangka dilancarkan seawal tahun 2016.
Tahniah buat Al-Manna. Semoga terus sukses!
Gambar kredit: Facebook Al-Manna & Fotolestari Photography Services