Personaliti TV3, Ally Iskandar, 40, hari ini mengakui telah menjatuhkan talak satu ke atas isterinya Nurfarahin Romli, 27, sekali gus menjawab spekulasi perceraian pasangan itu.
Menerusi laman Facebook peribadinya, Ally juga memohon maaf kepada pihak media kerana tidak memberi respons secara terus mengenai khabar angin tersebut ketika dihubungi semalam.
“Kenyataan rasmi ini saya kemukakan sebagai maklum balas kepada pertanyaan pihak media dan spekulasi yang berlegar di media sosial tentang situasi rumah tangga saya dengan Nurfarahin.
“Terlebih dahulu saya memohon berbanyak maaf kerana tidak memberi respon secara terus kepada semua yang telah menghubungi saya, dengan harapan tindakan saya ini ditanggapi sebagai keperluan untuk menenangkan keadaan,” jelasnya.
Menurut status di laman sosialnya itu, permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984 telah difailkan dengan persetujuan Nurfarahin.
Pada 17 Ogos, Ally mengesahkan lafaz cerai telah dijatuhkan ke atas Nurfarahin di hadapan Hakim Syarie Azzeman Omar.
“Alhamdulillah, urusan ini disempurnakan dalam keadaan lancar. Biarpun tiada lagi ikatan perkahwinan, hubungan saya dan keluarga dengan Nurfarahin serta ahli keluarganya tetap baik.
“Terima kasih kepada semua pihak yang cakna dan mengambil berat tentang situasi ini. Saya pohon agar kalian dapat mendoakan yang terbaik untuk kami,” katanya lagi.
Ally dan Farahin bernikah pada 20 Januari 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maream Esabel, 2 tahun.
Sumber: Utusan Malaysia