Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datin Umie Aida, Datin Diana Danielle, Rita Rudaini, Fizo Omar dan Zulhuzaimy di antara nama-nama besar sahut cabaran ceburi seni komedi improv.
Astro Warna pada petang ini bakal melancarkan program ‘All Stars Buka Panggung’ yang merupakan sebuah pertandingan komedi berkonsepkan realiti yang menampilkan nama-nama besar industri lakonan tempatan yang dicabar untuk mencuba nasib dalam seni komedi improv!
Bermula 6 September 2019 ini, ‘All Stars Buka Panggung’ bakal menyerikan saluran Astro Warna (CH132) dan Astro Warna HD (CH124) secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam, pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam. Untuk pilihan alternatif, ia boleh distrim terus menerusi platform digital Astro GO dan ‘On Demand’.
Keunikan program ini terletak pada formatnya di mana ia mencabar pelakon terhebat tanah air untuk beraksi dalam babak komedi bersahaja yang penuh dengan elemen kejutan.
Ini adalah kerana para peserta tidak akan diberikan sebarang pembayang bagi situasi dan set yang akan diberikan pada malam persembahan, dan terpaksa mengadaptasi kepada situasi dan membuat improvisasi dialog sambil berlakon.
Menggalas tugas hos adalah Ajak dan Shahrul dari kumpulan Shiro yang pernah meraih takhta juara bagi program ‘Raja Lawak Musim Ke-6’ pada tahun 2012 dan ‘Maharaja Lawak Mega’ pada tahun 2018.
Antara barisan artis dan selebriti yang terlibat di majlis sidang media ini kelak seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datin Umie Aida, Datin Diana Danielle, Rita Rudaini, Zulhuzaimy, Sharifah Sakinah, Ruhainies, Fahrin Ahmad, Johan As’ari, Naim Daniel, Liyana Jasmay, Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Izzue Islam, Farahdhiya dan ramai lagi!