Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 itu berkata, pembedahan dijangka akan dilakukan Selasa depan di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre milik penasihat motivasi, Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad.
Alina, 52, berkata dia memang berhasrat melakukan pembedahan mata, malah sedang mengumpul duit sedikit demi sedikit. Bagaimanapun, wang simpanannya masih belum mencukupi menyebabkan hasrat berkenaan tertangguh hingga hari ini.
“Ucapan terima kasih sahaja tidak mencukupi, saya akan terus mendoakan yang baik-baik untuk Sarah dan keluarga.
“Saya bagaikan tidak percaya apa yang didengar, berkali-kali saya bertanya kepada wakil pengurusan Sarah untuk kesahihan. Mereka menghubungi memberitahu Sarah mahu menaja kos rawatan pembedahan mata.
“Bayangkan, kami tak pernah berhubung selepas program Mentor Otai berakhir dua tahun lalu. Jadi, apabila diberitahu pengurusnya, Sarah mahu menaja tentulah saya amat terkejut.
“Saya tak dapat menahan air mata. Saya terlalu sebak dengan kemuliaan hati Sarah. Memang ucapan terima kasih tak mencukupi, hanya Allah SWT sahaja dapat membalas jasa dan budinya terhadap saya,”
– Alina
Berkenaan kos rawatan membuang katarak mata kanannya itu, Alina berkata, dia kurang pasti kos rawatan yang bakal ditanggung Sarah, tetapi yakin ia menelan belanja yang tinggi.
Alina berkata, dia mengalami katarak sekitar 2011 sewaktu bertugas sebagai pengawal keselamatan di KLCC.
“Sewaktu penyertaannya dalam program Kilauan Emas, dua mata tidak dapat melihat dengan jelas, tetapi saya tidak pernah berkongsi kesusahan yang dihadapinya.
“Bagaimanapun, saya berjaya melakukan proses pembuangan katarak untuk mata sebelah kiri pada 2017 selepas mempunyai rezeki lebih,”
– Alina
Sementara itu, Sarah yang menemani Alina pada sesi rawatan yang pertama mendoakan agar proses membuang katarak protegenya itu dipermudahkan.
“Betapa pentingnya sepasang masa untuk melihat. Saya sedih ketika membawanya bertemu dengan Prof Muhaya, hanya mendoakan segala urusannya dipermudahkan. Insya-Allah, apabila matanya sembuh boleh lebih mudah Alina melakukan segala aktivitinya,”
– Sarah
Sebelum ini, kisah kepayahan hidup Alina pernah tular ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Penyanyi lagu Gelombang itu difahamkan menghuni sebuah bilik kecil dan menampung kehidupan dengan mengambil upah membeli barang keperluan harian dengan berjalan kaki.
Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata itu turut mengambil upah membasuh dan melipat kain.
Penderitaan Alina akhirnya mendapat perhatian apabila permohonan untuk menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dia kini sedang di dalam proses berpindah dan bakal membawa anak keduanya yang kini berusia 20 tahun untuk tinggal bersamanya.
Sumber: Berita Harian