Menonjolkan tema kekeluargaan yang memaparkan peranan ketua keluarga dalam membimbing anak-anaknya yang semakin leka mengejar ‘dunia’, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton setia salurannya menerusi slot Panggung Ahad di TV1 menyaksikan telemovie bertajuk “Alim-Alim Kucing” pada 19 Jun ini, pukul 10.30 pagi.
Membariskan pelakon Mak Wan, Fezrul Khan, Aliff Hadi, Talha Harith, dan Razak Ahmad, telemovie arahan Sabree Fadzil ini membawa penonton menghayati keberkatan bulan Ramadan yang banyak membawa keinsafan kepada umat Islam dalam mengubah diri menjadi seorang hamba yang lebih baik.
Telemovie Teladan Ramadan Bertajuk “Alim-Alim Kucing” pada 19 Jun Ini di TV1
Secara ringkasnya ia mengisahkan kerisauan bapa tentang kelalaian anak dalam perihal agama setelah meningkat dewasa berbanding dengan didikan agama sempurna yang diberikan ketika mereka masih kecil dahulu. Si bapa mensyaratkan anak-anaknya untuk tinggal bersamanya dalam waktu tertentu sebelum beliau menunaikan haji. Pelbagai aksi komedi, lakonan dan helah wujud semasa tempoh bersyarat tersebut.
Ikuti perjalanan plot tentang pasangan suami isteri iaitu Pak Hassan dan Mak Kuntum yang mempunyai tiga (3) orang anak lelaki iaitu Hafiz, Hisham dan Haris. Pak Hassan pening memikirkan anaknya yang dilihatnya semakin lalai dalam perihal agama. Beliau telah memberi didikan agama secukupnya semenjak dari mereka kecil lagi.
Akhirnya Pak Hassan mendapat idea dan meminta anak-anaknya tinggal dengannya selama tiga (3) bulan sebagai syarat untuk meninggalkan wasiat sebelum Pak Hasaan dan Mak Wan menunaikan haji.
Pelbagai kisah komedi timbul sepanjang mereka tinggal di sana kerana lupa tentang ajaran agama serta berlakon seperti ‘alim-alim kucing’ kerana cuba memenangi hati jiran mereka, Nona.
Pada kesempatan inilah yang digunakan Pak Hassan untuk memupuk semula nilai-nilai Islam dalam hidup anak-anaknya. Tiba-tiba wasiat tersebut hanya akan dibaca pada tahun hadapan akibat penangguhan haji Pak Hassan. Namun begitu beliau bersyukur kerana anak-anaknya telah insaf. Dalam diam-diam, Haris bercinta dengan Nona tanpa diduga.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.