Pengasas produk D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui dihimpit pelbagai ujian sejak akhir-akhir ini hampir menyebabkan beliau mengambil tindakan di luar jangka. Menurut Aliff, tindakan ibunya menegur beliau di laman sosial menambah lagi tekanan yang dihadapi, namun Aliff memilih memohon maaf kepada ibunya, Rozita Ibrahim.
“Saya hampir mahu bunuh diri akibat terlalu tertekan. Bukan soal mak sahaja, perkara lain yang terjadi seperti satu pakej lengkap.
“Saya sudah meminta maaf dan ampun dengan mak. Saya pergi berjumpa mak dan menceritakan hal sebenar. Kami berpeluk dan menangis bersama,”
– Aliff Syukri
Ia susulan klip video muzik single terbaharunya, ‘Cuba Bahagia’ yang memaparkan usahawan itu menyanyi dengan tangisan berdarah. Mendapat kecaman ramai, kualiti vokal Syukri juga membuatkan ibunya rasa malu dan menggesa beliau berhenti menyanyi kerana ‘suara tidak sedap’.
Kesempatan permohonan maaf yang turut dimuat naik di laman Youtube TV Terlajak Laris itu diambil Aliff dengan menerangkan babak tangisan berdarah itu sekadar ‘teaser’.
Ditanya lagu tersebut merujuk simbolik ‘keretakan’ rumah tangga bersama Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, Aliff menafikannya.
Katanya beliau masih bahagia bersama keluarga, walaupun pasangan suami isteri itu tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram.
Sumber: Berita Harian