Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan dakwaan menganiaya Wani Comel, iaitu gadis memiliki berat badan hampir 300 kilogram (kg) yang tular, sejak tahun lalu. Aliff mendakwa tuntutan Wani tidak termaktub dalam kontrak, sebaliknya, bantuan dihulurkan adalah atas ihsan sesama manusia.
“Saya tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang seperti rumah, kereta dan kekayaan lain. Dalam perjanjian itu, jelas dinyatakan pemberian adalah atas budi bicara yang ditulis dalam kontrak.
“Tujuan saya hanya membantu dirinya berjalan semula dan menjaga ibunya yang sakit.
“Kalau betul apa yang dinyatakan ada di dalam perjanjian, dia boleh tuntut di mahkamah.
“Kita ada hakim, jadi biar hakim yang memutuskan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Aliff mendakwa, sejak mengenali Wani, Ogos tahun lalu, dia sudah membelanjakan ratusan ribu ringgit membabitkan kos pembedahan bariatrik dan tempat tinggal selain bayaran jurulatih peribadi, pakar pemakanan, tukang masak dan sebagainya.
Bagaimanapun, Aliff berkata dia tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wani sehinggalah gadis itu memfailkan saman terhadapnya.
Ketika ini, Aliff sedang menunggu tindakan lanjut serta maklum balas daripada Wani atau nama sebenar, Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23.
Turut hadir pada sidang media itu adalah peguamnya dari Tetuan Hasshahari & Partners, Hasshahari Johari Mawi; Penganalisis Jenayah Bebas, Kamal Affendi Hashim serta Pengurus Besar D’Herbs, Nur Qistina Musa.
Pada 4 Disember lalu, pada sidang media, Wani mendakwa dianiaya Aliff dan haknya sebagai duta produk pelansingan badan milik usahawan itu, dinafikan.
Ditemani peguam, Haziq Aizuddin Subhi, Wani dilaporkan menjelaskan dia ingin menuntut pampasan dan habuan yang dijanjikan selain membatalkan kontrak yang ditandatangani.
*Sumber: BH Online
Saya Sedia Disaman Wani, Kita Lawan Di Mahkamah – Aliff Syukri
PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pernah berjanji memberikan kereta, rumah dan menyara keluarga Wani sebagai balasan menjadi duta produk kurus keluarannya.
Malah Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, perkara tersebut tidak pernah dinyatakan dalam kontrak yang telah ditandatangani oleh Wani sebelum ini.
“Kami tidak pernah menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sebelum ini pun saya pernah ambil duta lain. Saya sama sekali tidak pernah cakap mahu bagi kereta, rumah. Dia bukan isteri saya, bukan ibu bapa saya daripada saya bagi dia kaya, bagi saya saya kayakan GM (General Manager) saya yang telah bertahun-tahun kerja dengan saya,” katanya ketika sidang media di kediamannya hari ini.
Pengasas D’Herbs itu berkata, tuntutan yang dibuat oleh Wani baru-baru ini menerusi sidang media didakwa didalangi oleh pihak tertentu yang mahu melakukan provokasi termasuklah beberapa orang bekas pekerjanya sendiri yang tidak berpuas hati dan ingin menjatuhkannya.
Justeru demi mempertahankan diri, Aliff bersedia berhadapan dengan saman dan akan menggunakan mahkamah sebagai platform menegakkan keadilan.
“Kalau isu ini tidak melibatkan saya, saya rasa tidak jadi begini. Sebelum ini saya pernah ambil Erra Fazira, Wany Hasrita sebagai duta tidak ada pula muncul masalah seperti ini.
“Kepada rakyat Malaysia selepas ini berbagai lagi provokasi yang akan dibuat oleh pihak sebelah sana, iaitu bekas pekerja saya sendiri tujuan untuk menaikkan populariti dan saya tidak tahu apa lagi yang mereka mahukan.
“Tetapi adik Wani, terima kasih. Saya nak beritahu kepada pihak yang nak jatuhkan saya dengan kes Wani saya mengalu-alukan saman anda, saya tunggu saman anda dan kita tengok siapakah yang akan disaman. Kalau betul saya janji nak beri kereta, rumah, lawanlah di mahkamah.
“Dan tuntutan yang dibuat bernilai ratusan ribu saya tidak takut dan gentar kita lawan di mahkamah kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan. kalau saya salah biar hakim memutuskan,” tambahnya.
Mengulas lanjut Aliff juga menegaskan tidak pernah meletakkan jumlah tertentu dalam kontrak bayaran kepada Wani setiap bulan.
“Dekat situ tertulis atas ihsan saya bergantung kepada saya dan saya layak memberi atau tidak. Saya sudah tulis di situ,” katanya.
Aliff selain itu meluahkan kekesalannya terhadap Wani yang sebelum ini mengalami berat badan yang melampau, mencecah hampir 300 kilogram (kg) namun pada akhirnya berjaya kehilangan 100 kg selepas bantuannya.
Beliau turut berkata, bukan sekadar membiayai pembedahan bariatrik, Aliff turut menampung kos terapi bersama-sama pelatih peribadi untuk membantunya berjalan semula.
Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi yang turut hadir pada sidang media itu mendedahkan wujud unsur yang mencurigakan apabila wakil Wani yang dikenali sebagai ‘Encik Shah’ membuat dakwaan yang dilihatnya bercanggah dengan situasi sebenar.
Situasi sebenar dilihatnya sendiri apabila menuntut Aliff menunjukkan bukti selepas timbul rasa minat melihat kes yang sama.
Lebih mengejutkan Kamal selaku orang tengah yang ingin mendamaikan Aliff dengan Wani telah memaklumkan wakil gadis berkenaan bahawa usahawan kosmetik itu bersedia untuk memenuhi tuntutannya melepaskan diri dari kontrak.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya, katanya lagi sidang media pada 4 Disember baru-baru ini bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui.
“Saya sendiri bertanyakan dengan Aliff melihat sendiri bukti, selepas itu saya bertemu dengan Shah dan berbincang, dia memaklumkan Wani mahu dilepaskan dari kontrak dan perkara itu telah pun disetujui,” tambahnya.
Beliau tidak menolak Wani dieksploitasi oleh pihak tertentu yang mahu menjatuhkan usahawan kosmetik ini.
Turut hadir ketika sidang media adalah peguam mewakili Aliff iaitu Hasshahari Johari Mawi.
Hasshahari berkata, pihaknya telah bersedia untuk berhadapan dengan tuntutan saman yang akan dihadapi oleh Aliff.
*Sumber: MalaysiaGazette
Aliff Syukri Tegaskan Pemberian Kereta & Rumah Tiada Dalam Kontrak, RM3,000 Hanya Belas Ihsan
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan sekeras-kerasnya terhadap dakwaan dia telah melanggar kontrak yang telah ditandatangani bersama Wani Comel.
Aliff berkata, mengenai perjanjian yang dikatakan seperti pemberian kereta dan rumah tidak termaktub dalam kontrak dan pemberian wang sebanyak RM3,000 sebulan adalah bergantung pada belas ihsan pihaknya.
“Tujuan saya pada mulanya hanya untuk membantu dirinya berjalan semula yang sekali gus dapat membantu dia untuk menjaga ibunya yang sakit.
“Sebenarnya saya memang tidak pernah menjajikan kereta rumah dan sebagainya. Kalau betul ada dalam perjaniian, saya akan tunaikan,” tegasnya.
Pada minggu lalu, seorang gadis yang mengalami masalah obesiti iaitu Wani Comel membuat tuntutan kepada usahawan supaya memenuhi apa yang terkandung dalam kontrak.
Menurut Aliff, dia tidak menolak kemungkinan bahawa ada pihak yang cuba menjatuhkan dirinya dan perniagaannya.
Dalam pada itu, Aliff menegaskan bahawa dia bersedia sekiranya Wani mahu membawa kes dibawa ke mahkamah.
“Saya takkan cakap menggunakan mulut, saya bercakap menggunakan bukti yang ada. Selepas ini pelbagai provokasi yang akan dilakukan.
“Kepada kes Wani, saya mengalu-alukan saman ada, saya tunggu saman anda. Dan kita tengok siapakah yang akan disaman,” tegasnya.