Enggan memanjangkan kemelut antara mereka, Datuk Seri Aliff Syukri baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan adik Allahyarham Abam Bocey, Ali Puteh untuk menamatkan konflik yang pernah terjadi. Mereka akhirnya berdamai dan Aliff juga berharap agar hubungan antara mereka akan berkekalan sebagai sahabat. Malah, Ali juga banyak memberikan kata-kata semangat buatnya.
Dalam pada itu, Aliff berjanji akan bertemu dengan keluarga Ali tidak lama lagi.
“Hari ini saya berjumpa dengan Ali Puteh dan alhamdulillah, kami sudah berdamai. Kami berjumpa buat pertama kali dan saya menjadi sebagai seorang kawan kepada Ali.
“Saya berharap sangat kami boleh menjadi seorang kawan dan tiada sengketa antara kami. Apapun, jika ada masa, Insya-Allah saya akan ke rumah Ali dan berjumpa dengan keluarganya juga. Saya harapkan yang terbaik untuk mereka,”
– Aliff Syukri
Sementara itu, Ali pula mendoakan yang terbaik terhadap silaturahim antara mereka dan berterima kasih kepada Aliff atas usahanya itu.
“Terima kasih juga kepada semua yang selalu bagi saya sokongan, terima kasih juga untuk Datuk Aliff Syukri.
Diharap semua baik-baik saja, semoga kita sama-sama berubah ke arah kebaikan.
Apa yang buruk kita perbaiki lagi, sesungguhnya yang baik datang dari Allah,”
– Ali Puteh
Terdahulu, tindakan Aliff membuat rakaman Live di Faceebook ketika berkunjung ke rumah balu arwah Abam mencetuskan kekecohan apabila menyentuh isu sensitif melibatkan harta.
Gara-gara video yang dikongsikan di Facebooknya itu, Ali kemudian naik berang sehingga melabelkan kakak iparnya sebagai ‘binatang’.
Namun, usahwan kosmetik itu mendakwa dia tidak berniat melaga-lagakan mana-mana pihak.
Aliff dalam satu sidang media kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Ali dan bersedia untuk bertemu dengan pelawak itu serta ibunya.