Menurut Bella dia kini lebih berhati-hati sebelum berkongsikan hal peribadi kepada umum dan apa yang berlaku sebelum ini mematangkan dirinya. Namun, hal rujuk dan hamil perlu dikongsikan kerana bimbang akan mengundang fitnah.
Sejak bermulanya kisah kecurangan Aliff Aziz, netizen telah mengikuti perkembangan hidup lelaki itu dan Bella Astillah sehingga ke hari ini. Melihatkan pasang surut hubungan mereka, ramai mendoakan yang terbaik kepada keluarga tersebut.
Walaupun mengambil keputusan untuk berpisah tetapi Bella mengakui bahawa mereka sudah pun kembali bersama sebagai pasangan suami isteri semasa dalam tempoh iddah lagi.
Wanita yang kini sarat mengandung anak kedua mereka menjelaskan bahawa pengumuman rasmi itu lambat dibuat bagi memberikan masa kepada Aliff untuk menyelesaikan apa yang patut.
“Saya akui kesilapan dan terlalu ikut perasan marah. Saya tahu ramai yang mempertikaikan kenapa kongsi segala masalah dalam laman sosial, kemudiannya seperti menjilat semula.
“Saya juga hanya manusia biasa dan berdarah muda. Saya panas hati dan kongsi amarah terpendam.
Bagaimanapun, apa yang berlaku mematangkan diri. Saya banyak belajar daripada kesilapan yang dilakukan.
“Kini, saya akan berfikir panjang sebelum berkongsi soal peribadi di laman sosial. Cuma, apabila rujuk dan hamil semula saya perlu berkongsi kerana bimbang mengundang fitnah,”
– Bella
Bahkan, Aliff dikhabarkan sudah lebih 3 bulan menabur bakti di sebuah pusat komuniti Islam terletak di Singapura.
Agak menyedihkan apabila Bella dan Ayden tidak dapat beraya bersama dengan Aliff dek halangan merentas negara bagi membendung wabak COVID-19. Jadinya, mereka hanya mampu berhubung menerusi panggilan video atau pun melakukan IG Live bersama.
Semoga pasangan ini menemui sinar bahagia selepas segala kemelut ini.
Sumber: BH Online