in

Alif Satar & Hani Pengacara Gameshow BAS PINTAR

Anda pasti tidak asing lagi dengan kehadiran bas yang dicat warna kuning di jalan raya. Bas Sekolah itu merupakan satu kemudahan yang sungguh menyenangkan bagi sesetengah golongan anak murid. Bagaimana pula dengan Bas Sekolah yang telah bertukar wajah menjadi BAS PINTAR yang memainkan peranan penting dalam program gameshow yang bakal menjengah di TV3 menerusi penjenamaan Bananana! bermula 24 Ogos 2014, setiap hari Ahad pukul 6.30 petang nanti?

Bas Pintar - cabaran fizikal untuk menyaring 20 peserta

BAS PINTAR, sebuah gameshow baharu yang diperkenalkan oleh TV3 pada tahun 2014 bertujuan menguji ketangkasan fizikal dan kecerdasan minda dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Sesi penggambaran telah bermula sejak bulan Februari di mana kru produksi bersama-sama pasangan hosnya, Alif Satar dan Hani sudah mengunjungi lebih daripada 10 sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, antaranya, SK Damansara (Tahun 5), SK (2) Petaling Jaya (Tahun 3), SK Subang Bestari (Tahun 4), SK Seksyen 9, Shah Alam (Tahun 5), SK TUDM Subang (Tahun 4), SK Seksyen 13 Shah Alam (Tahun 3), SK Subang Jaya (Tahun 5), SK Seafield Subang Jaya (Tahun 4), SK Bandar Sunway (Tahun 3), SK Seksyen 2 Bandar Kinrara (Tahun 5) dan SK Kajang Utama (Tahun 4).

Bakal bersiaran selama 13 episod, BAS PINTAR meraikan seorang Juara dalam setiap episod menerusi sekolah-sekolah yang dikunjunginya. Di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, kru BAS PINTAR telah tiba sewal 9.00 pagi untuk mencari 20 peserta dari Tahun 4 untuk bertanding dalam cabaran fizikal di padang sekolah. Seperti biasa, hos BAS PINTAR, Alif Satar dan Hani kelihatan sangat ceria melayan kerenah para pelajar dan memeriahkan lagi suasana sewaktu pertandingan yang memerlukan para peserta membaling gelung paling cepat ke botol yang disediakan.

Selepas itu, 10 peserta dipilih untuk menyertai cabaran kuiz yang berlangsung dalam BAS PINTAR yang akan membawa penumpangnya mengelilingi kawasan sekolah. Jika peserta tersingkir pada pusingan tersebut, dia akan dikehendaki turun dari BAS PINTAR dan dihantar pulang ke sekolah.

Cabaran kuiz dibahagikan kepada 3 pusingan iaitu ‘Litar Pintas’, ‘Buzzer’ dan ‘Di Bawah Tekanan’. Dalam pusingan ‘Litar Pintas’, mereka perlu menjawab 6 soalan untuk kategori pengetahuan am. Hanya 6 peserta yang dapat meneruskan ke peringkat seterusnya, ‘Buzzer’. Pusingan ‘Buzzer’ pula menguji pengetahuan para pelajar dengan 20 soalan berkaitan pengetahuan am dan infotainment. Pusingan ini akan menyingkirkan 3 peserta.

Akhirnya, hanya tinggal 3 peserta dalam pusingan akhir, ‘Di Bawah Tekanan’ yang bakal menjawab 5 soalan tentang Sains dan Matematik. Dalam pusingan ini, setiap peserta diberikan 2 talian hayat dimana mereka juga boleh meminta bantuan daripada The Genius untuk menyelesaikan masalah. Peserta yang berjaya mengumpul markah paling tinggi secara keseluruhan akan bergelar juara dalam episod tersebut. Lebih menarik, Juara mingguan boleh memilih untuk meneruskan dalam pusingan bonus – ‘Pilihan Di Tangan Anda’ untuk menggandakan hadiah ataupun kehilangan semua hadiah yang dimenanginya jika silap membuat pilihan.

Menurut Kamarul Zamri Ramly, penerbit eksekutif kepada program BAS PINTAR:

“Gameshow ini unik kerana kami telah mengubahsuaikan sebuah bas sekolah kepada set studio bergerak yang mengadakan cabaran kuiz di sekolah-sekolah yang kami berkunjung. Sepanjang penggambaran, kami amat bersyukur kerana mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah dan juga jabatan pendidikan dalam memudahkan segala urusan. BAS PINTAR juga turut berkongsi ilmu kepada anak murid tentang prosedur penerbitan yang diadakan di luar lokasi kerana keseluruhan penggambaran dijalankan sepenuhnya di sekolah tersebut untuk setiap episod.”

BAS PINTAR terbitan Primeworks Studios menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk cenderahati eksklusif Bananana!, pakaian sekolah PROFESSOR, KFC, ACER, KELLOGG’S dan hadiah wang tunai. Nantikan kemunculan program BAS PINTAR di TV3 pada 24 Ogos 2014, setiap hari Ahad pukul 6.30 petang. Layari www.tv3.com.my, Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Logo Bas Pintar

Bas Pintar - peserta bersedia untuk cabaran kuiz

Bas Pintar (1)

Hos Bas Pintar - Alif Satar & Hani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video CEO & Selebriti Menjayakan IceBucketChallenge

Peraduan Menang Tiket Konsert You Me At Six Live in KL