Setelah hampir tiga minggu tidak bertemu, pelakon Fizo Omar meluahkan rasa syukur dan gembira kerana akhirnya dapat berjumpa dengan anak kesayangan, Wan Maryam yang kini berusia tiga tahun. Namun, menerusi hantaran Instagramnya hari ini, Fizo memaklumkan berita gembira apabila anaknya, Maryam kini telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan virus tersebut.
Sebelum ini, Wan Maryam dan bekas isteri Fizo, Mawar Karim telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana telah disahkan positif COVID-19.
Malah, Fizo sempat memuat naik video menyentuh hati saat dia berjumpa Maryam buat kali pertama setelah sekian lamanya.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, dia terlebih dahulu menghubungi pakar perubatan untuk mengesahkan Maryam sudah bebas sepenuhnya daripada wabak merbahaya itu.
“Hari ini hari yang dinantikan setelah tiga minggu saya tak jumpa Mariam. Hari ke-20, saya dah hubungi doktor dan dah boleh jumpa Mariam.
Mariam dah sihat. Mariam dah bebas dari COVID-19. Mariam akan tinggal di rumah daddy malam ni.”
– Fizo Omar
Fizo turut menzahirkan perasaan syukur apabila melihat anaknya kini sihat seperti sediakala, malah dia turut menasihatkan orang ramai untuk terus menjaga kesihatan.
Dalam pada itu, pelakon drama Adellea Sofea itu turut mengucapkan terima kasih buat semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan yang terbaik buat bekas isteri dan anak kesayangannya itu.
Rata-rata peminat yang turut menonton video tersebut turut gembira dan terharu melihat keadaan Maryam dan mendoakan yang terbaik buat keluarga mereka.