Memetik Utusan Online, Sabri berkata dia dan Angeline sudah tiga tahun merancang mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam pada awal Oktober.
“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.
“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.
“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sabri turut meluahkan rasa syukur anak dan keluarga merestui mereka untuk mendirikan rumah tangga namun apa yang penting adalah buat isterinya untuk menerima agama baru.
“Alhamdulillah, anak-anak kami merestui. Malah, keluarganya juga hadir ke majlis pernikahan kami.
“Saya berharap agar doa-doa yang baik daripada kalian dimakbulkan. Banyak perkara yang mungkin dia (Angeline) tak tahu. Berilah peluang kami berdua belajar.
“Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat,” katanya.