Model dan pelakon, Aleeza Kassim, menempuh pengalaman menakutkan petang tadi apabila kediamannya di Pantai Hillpark, di sini, diceroboh perompak. Aleeza memaklumkan, beliau menyedari kejadian itu sebaik saja melihat kunci di pintu pagar hadapan rumahnya sudah terkopak.
“Waktu itu, tiada sesiapa berada di rumah. Ibu keluar ke rumah abang saya, manakala saya sendiri ada urusan di luar. Sebaik saja tiba di rumah, saya dapati mangga sudah terkopak. Bimbang penjenayah masih berada di dalam, saya berlari meminta pertolongan jiran.
“Banyak benda berharga hilang, antaranya barang kemas milik ibu dan juga peninggalan arwah ayah untuk saya. Kerugian mencecah angka RM280,000, manakala wang tunai yang hilang pula berjumlah RM13,000,” katanya kepada BH Online.
Masih trauma dengan apa yang berlaku, pelakon filem Panas dan Susuk ini turut mengharapkan penjenayah terbabit dapat memulangkan kembali barang kemas berkenaan kerana ia sangat bermakna buat dirinya.
“Kalau mereka nak ambil duit, ambillah, tetapi saya harap mereka dapat pulangkan kembali barang kemas kerana ia meninggalkan banyak kenangan buat kami sekeluarga. Apapun terjadi, saya tetap akan berusaha untuk mendapatkan semula barang kemas berkenaan,” tegasnya.
Aleeza juga sudah membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Pantai.
Sumber: Berita Harian