Walaupun masih dalam keadaan letih dan jetlag, Budiey sempat bergegas ke Hotel Le Meridien pada jam 3 petang, 17 Januari, untuk menghadiri satu sidang media yang dianjurkan oleh Anuar Zain Network di mana Anuar Zain mengumumkan sesuatu yang istimewa kepada peminat.
Penyanyi Anuar Zain memberitahu dia sanggup mengetepikan seketika nilai-nilai eksklusif yang ada pada dirinya demi mendekatkan diri bersama peminat.
Sidang media Anuar Zain ini diadakan sempena dengan pengumuman Album Tour 2017 dengan kerjasama Mydin serta Suria FM akan menjadi stesen radio rasmi bagi siri jelajah berkenaan, keduanya, Anuar Zain turut buat pelancaran Muzik Video Cinta Takkan Berakhir, kesinambungan dari lagu Andainya Takdir.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 47, berkata, itu antara resipi yang diamalkannya agar tidak menimbulkan jurang kemesraan antaranya dengan peminat.
“Sejak dulu saya sering tekankan… peminat adalah segala-galanya dan demi mereka, saya tidak kisah seandainya perlu ketepikan seketika nilai-nilai eksklusif asalkan mereka rasa dekat dan dihargai.
“Malah saya tidak kisah langsung bila orang mula berkata saya menjual album di pasar raya Mydin dan membuat persembahan secara percuma di sana.
“Biar saya dilihat mencari peminat kerana saya tahu di situ akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai, itu lebih bermakna buat saya.”
Dalam pada itu katanya, tidak ramai yang melihat potensi pada Mydin tetapi syarikatnya Anuar Zain Network Sdn Bhd begitu teruja untuk berkolaborasi dengan pasar raya itu yang dilihat antara gedung beli-belah pilihan rakyat Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakan, menjadi artis pertama bekerjasama dengan Mydin adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini.
“Impaknya sangat positif dan seharusnya saya rasa amat bersyukyur kerana selama berpeluang mengadakan show di sana, saya rasa begitu dekat dengan peminat dari latar belakang berbeza”, ujarnya.
Tambahnya lagi, kesudian pihak Mydin untuk sama-sama terlibat dalam projek Anuar Zain Album Tour 2017 membuatkan dirinya rasa cukup berbesar hati.
Anuar Zain Album Tour 2017 akan menjalankan promosi di enam rangkaian Mydin seluruh Malaysia iaitu Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan tiga lokasi di Mydin Mall Sarawak pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Penjualan album ini akan diteruskan di 45 buah cawangan Mydin di Malaysia di mana dengan setiap pembelian cekara padat, peminat berpeluang bertemu Anuar Zain di sessi Meet & Great secara eksklusif.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Andainya Takdir ini turut bersyukur kerana showcase Younder Music Live Series By The Lake – Anuar Zain & You mendapat sambutan luar biasa peminat.
“Dalam situasi ekonomi kurang menentu di samping ada yang merungut harga tiket agak mahal tapi Alhamdulillah maklum balas yang saya terima amat positif.
“Penjualan tiket berjalan agak pantas dan sambutannya di luar jangkaan daripada peminat-peminat seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Saya sebenarnya tidak sabar-sabar untuk menghiburkan mereka,” katanya.
Showcase Younder Music Live Series By The Lake – Anuar Zain & You akan berlangsung pada 21 Januari depan di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana, pada pukul 8 malam.
Menerusi persembahan berdurasi 90 minit itu, dia akan menghiburkan peminat dengan seleksi lagu-lagu baru dan lama antaranya Ketulusan Hati, Sedetik Lebih dan Bila Resah.
Sumber: Mstar Online