Dua bekas bintang Akademi Fantasia (AF), Marsha Milan dan Velvet Aduk, akan bergabung tenaga menerusi album lagu tempatan Sabah, tahun depan.
Marsha yang berasal dari Tamparuli, Sabah berkata, beliau dan Velvet sudah lama merancang untuk menghasilkan album sedemikian, namun baru kini perancangan itu mahu direalisasikan.
Katanya, idea untuk melahirkan album terbabit adalah hasil buah fikiran mereka bersama, atas dasar persahabatan yang sudah lama terjalin.
“Perancangan ini dibuat sejak beberapa tahun lalu, tetapi kami terlalu sibuk dengan komitmen masing-masing sehingga sukar mendapat masa yang sesuai untuk duduk berbincang secara serius mengenai album ini. Kebetulan, kali ini saya berpeluang pulang ke sini dan sempat duduk berbincang mengenai perancangan itu semula. Kami tidak mahu menangguhkan lagi projek ini yang dilihat mampu memberikan kesan positif kepada masyarakat di Sabah. Saya dan Velvet merancang untuk menghasilkan sendiri semua lagu yang ada dalam album ini. Setakat ini, kami sudah mula menghasilkan lirik lagu masing-masing, malah sedang cuba mendapatkan melodi yang bersesuaian,” katanya yang kini sibuk mempromosikan single solonya berjudul Hilang.
Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 31, memaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama peminatnya, di sini.
Mengulas lanjut, bekas peserta AF3 itu menyatakan pihaknya memilih untuk mengetengahkan album berkonsep sebegitu disebabkan tidak ramai penyanyi generasi baharu, khususnya dari negeri ini, yang mampu mencipta nama pada peringkat nasional.
“Selain berkawan baik, saya mahu pun Velvet sama-sama berbangsa Kadazandusun dan ini pastinya memberi kelebihan kepada kami untuk menghasilkan lagu bercorak sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Velvet, 30, berkata jumlah lagu yang akan dimuatkan dalam album berkenaan belum diputuskan.
“Kita juga belum memutuskan sama ada semua lagu dalam album itu bakal dinyanyikan dalam bahasa Dusun atau menyelitkan lagu bahasa Melayu loghat Sabah.
“Ketika ini, kami berbincang untuk memuatkan kedua-dua jenis lagu. Walaupun asalnya kita hanya meletakkan pasaran di negeri ini, saya dan Marsha harus bersedia dengan segala kemungkinan.
“Mungkin lagu Melayu loghat Sabah, boleh diterima oleh peminat di Semenanjung,” katanya yang kini lebih selesa menetap di Sabah.
Sebagai permulaan, Velvet berkata, mereka merancang untuk mengeluarkan single duet terlebih dulu, Januari depan, sebelum mengeluarkan album penuh.
Sumber: Berita Harian