in , ,

Album E.P. EXACXLI Percaturan Pertama Abubakarxli Bersama Def Jam

Nama Abubakarxli (Abu Bakar Ali) mungkin masih baru dalam industri hiburan tanahair, tetapi dalam arena hip-hop tempatan khususnya generasi millennials yang dahagakan karya relevan lagi segar, Abubakarxli menjadi buah mulut bahawa beliau bakal menjadi peneraju masa depan genre muzik popular ini.

Kemampuan luar biasa anak muda baru berumur 24 tahun ini disebut-sebut sebagai MVP (Most Valuable Player) penyanyi rap era baru, telah terbukti apabila hari ini tampil dengan rilisan bermutu terbaru, album E.P. berjudul EXACXLI terbitan Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.  

Mengandungi enam buah lagu yang cukup bertenaga, keseluruhan lagu dalam album E.P. ini adalah hasil buah tangan sulungnya bersama Def Jam. Album E.P. EXACXLI merupakan sebuah naskah yang bakal menggegar dan mewarnai industri hiburan tanahair terutamanya peminat hip-hop sendiri.

Memiliki bakat serba boleh, kemampuan rapper yang berasal dari Ipoh, Perak ini mendapat kebebasan daripada syarikat rakamannya menerbitkan album E.P. sendiri dengan sentuhan komposer muda hebat Exactesy

Abubakarxli

“Syukur Alhamdulillah, setelah hasil kerja keras, bersengkang mata dan memerah keringat dalam studio akhirnya, hari ini karya terbaru saya album E.P. EXACXLI berjaya diterbitkan untuk peminat-peminat hip-hop tanahair dan genre seumpama ini,”

– Abubakarxli

Mengagumi hasil kerja komposer kreatif seperti Exactesy, komposer berbakat besar yang juga sahabatnya, Abubakarxli menyatakan dia tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan karya-karya hebat dalam album E.P. EXACXLI.

“Saya gembira dapat bergandingan dengan Exactesy, seorang komposer muda yang mempunyai banyak ilham-ilham bernas dan segar ketika menghasilkan karya.

Exactesy menepati keinginan saya untuk menerbitkan setiap lagu yang ada dalam EXACXLI mengikut jenis ritma dan irama bertepatan dalam konsep album E.P. ini,”

– Abubakarxli

Kesefahaman yang telah lama dibina secara tidak langsung memberi garapan hasil berkualiti dari segi audio, rentak irama, lirikal dan aspek-aspek lain menepati kehendaknya.

Rakam Karya Ketika Pandemik

 “Sebenarnya ada di antara lagu dalam album E.P. EXACXLI telah saya karang lebih empat tahun lalu, sehinggalah saya mengambil keputusan untuk merakamnya semula ke dalam studio ketika seluruh negara berada dalam situasi dilanda pandemik yang nampaknya masih belum berkesudahan,” 

– Abubakarxli

Lagu Balik Kampung misalnya, salah sebuah karya yang Abubakarxli hasilkan sebagai salah satu motivasi untuknya bekerja keras lantaran dirinya telah membuat keputusan untuk terus berjuang sebagai anak seni. 

“Tidak kiralah apa juga rintangan yang ada di hadapan. Saya kata pada diri saya ketika itu berada sendirian semasa perintah kawalan pergerakan, ‘kalau nak buat benda ni, buat betul-betul, kalau tak tahan boleh Balik Kampung,”

– Abubakarxli
Abubakarxli

Selain Balik Kampung, terdapat lima buah lagu lain seperti ‘Terbang’ (featuring Airliftz & Zet Legacy), ‘Ada Orang’ (featuring Sxph & Pele.L), ‘Rehat’,  ‘Jangan Marah’ (featuring Touche & NOTAIZAT) dan ‘Selesai’ (featuring Danye) turut dimuatkan dalam album E.P. ini. Setiap satu karyanya disusun dengan kemas dan terperinci untuk memastikan kepuasan dapat disajikan kepada para peminatnya.

“Uniknya, saya dapat merakamkan kebanyakan lagu-lagu dalam album E.P. ini bersama rakan-rakan yang cukup rapat dengan saya.

Mereka ini merupakan sahabat-sahabat yang banyak memberi inspirasi kehadiran saya dalam industri baik di arus perdana mahupun bawah tanah.

Ya, album E.P. ini cukup istimewa dan mempunyai nilai sentimental yang cukup tinggi dan bersifat peribadi kerana kesemua artis jemputan yang turut serta dalam setiap lagu adalah ibarat keluarga pada saya,”

– Abubakarxli

Tambahnya lagi, semasa proses rakaman berlangsung setiap artis bekerja secara atas talian di studio masing-masing dan kesemuanya mengamalkan etika Work From Home (bekerja dari rumah) seperti disarankan oleh kerajaan. Tanpa sebarang pertemuan secara fizikal dan penyesuaian dalam norma baharu, walaupun sedikit janggal namun langsung tidak menjejaskan mereka menghasilkan karya yang amat bermutu.

“Tidak hairan album E.P. EXACXLI ini dapat disiapkan dalam tempoh selama empat minggu sahaja.

Suatu komitmen dan pencapaian luar biasa buat kami semua menghadapi suasana agak sukar ini,”

– Abubakarxli
Abubakarxli

Rehat Dedikasi Kerja Keras Untuk Ibu

Dikenali sebagai seorang penyanyi rap dengan gaya penyampaian bersahaja, kekuatan Abubakarxli terserlah ketika nyanyian lenggok melodinya. Lagu-lagunya cukup enak didengar dan mampu membuat siapa saja jatuh hati.

Lagu Rehat misalnya, mempunyai struktur melodi cukup santai menceritakan keinginan diri memuaskan hati insan rapat dengannya seperti ibu yang cukup dikasihinya. Menampilkan rentak g-funk dengan unsur-unsur instrumen talkbox yang begitu ketara, tidak mustahil ‘Rehat’ bakal menjadi lagu hits siulan buat sesiapa saja yang gemarkan mood santai hip-hop  klasik dalam prosa moden cara Abubakarxli. Kesemua lagu-lagu dalam album E.P. ini digarap atas denyut nadi yang berlatarkan kehidupannya seharian.

“Apa yang saya boleh katakan, sungguhpun album E.P. ini merupakan karya ringkas diterbitkan sebelum kehadiran album penuh, nilai estetika yang tinggi telah saya garap mengambil kisah hidup dan lontaran rasa saya yang dalam. Lagu Terbang merupakan inspirasi kisah perjalanan saya bersama-sama keluarga besar Def Jam ketika pelancaran Def Jam Asia Tenggara di Singapura tidak lama dahulu,”

 “Lagu Ada Orang pula garapan tentang kisah saya yang dikelilingi orang yang saya sayang seperti keluarga saya. Misalnya jika orang lihat saya keluar makan sebenarnya ada orang yang sedang tunggu saya di rumah, ada orang yang sedang mendoakan saya dan sebagainya,”

– Abubakarxli

Berada dalam fasa yang lapar pada cabaran dan dahagakan kejayaan, menjadi titik tolak mengapa penyanyi rap muda ini bersungguh-sungguh menghasilkan album E.P. ini dengan cukup teliti. Abubakarxli juga berharap khalayak di luar sana akan terus menyokong karya terbarunya ini.

“Saya sudah bekerja keras untuk menghasilkan yang terbaik dalam setiap lagu-lagu dalam album E.P. ini, dan cukup seronok dapat menghasilkan karya bermutu seperti ini.

Dengan harapan, saya mahu pendengar menilai sendiri dan dapat menerima EXACXLI dalam ruang hati mereka dan peminat muzik tanahair secara keseluruhannya,”

– Abubakarxli
Abubakarxli
Abubakarxli

Mengenai Def Jam Asia Tenggara

Pada tahun 1984, Def Jam Recordings muncul di New York City untuk mendorong budaya hip-hop ke tahap yang baru. Dalam beberapa dekad yang lalu, rumah yang dibina oleh Russell Simmons dan Rick Rubin lebih dari sekadar memenuhi tujuannya dibina, malah ia menjadi antara salah satu pengedar hiburan hip-hop yang paling dikenali di seluruh dunia.

Pada bulan September 2019 dalam satu persidangan All That Matters di Singapura, penubuhan Def Jam South East Asia (SEA) telah diumumkan, dengan barisan bakat besar serantau yang merangkumi Joe Flizzow dari Malaysia, Daboyway dari Thailand, A. Nayaka dari Indonesia, dan Fariz Jabba dan Yung Raja dari Singapura.

Def Jam pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik seperti Run-DMC, LL Cool J, The Beastie Boys, Public Enemy, Jay Z, Kanye West, Nas, Rihanna, Justin Bieber, 2 Chainz and Desiigner. 

Sejak pelancarannya, Def Jam SEA telah berjaya dalam permainan muziknya dalam acara berprofil tinggi seperti konvensyen Culture Cartel 2019 di Singapura, di samping membantu dengan kemasukan perniagaan sukan global JD Sport ke dalam pasaran Thailand ketika upacara pelancaran label tersebut di Bangkok.

Dengan pengaruh hip-hop yang telah meluas di dunia, tidak lama masa yang diambil oleh Def Jam untuk meluaskan sayapnya di Asia Tenggara dengan barisan hadapan yang berbakat besar. Label ini juga sibuk membawa lebih banyak bakat hebat dari seluruh rantau ini seperti Abubakarxli dari Malaysia, Ben Utomo Indonesia dan Rayi Putra, dan kemasukan Vietnam dan Filipina ke dalam keluarga Def Jam SEA diwakili oleh SeaChains dan VVS Collective.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ben Affleck Bakal Mengarah Filem Disney Berjudul KEEPER OF THE LOST CITIES

SAJAT

Luahan Didiskriminasi, Sajat Mengaku Buat Pembedahan Tukar Jantina?