in

Album Aku Sudirman Suatu Interpretasi

Hari ini, tanggal 25 Mei adalah hari ulang tahun kelahiran Allahyarham Dato’ Sudirman. Beliau yang dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang adalah anak pasangan Romlah Dahalan dan Haji Arshad Hassan. Semasa Sudir berusia lima tahun, ibunya meninggal dunia akibat kanser manakala ayahnya, bekas pengurus Temerloh Bus Company yang juga seorang ahli politik di Temerloh, meninggal dunia pada 1978.

Sudirman adalah anak bongsu daripada lima beradik. Bakat seninya bercambah sejak kecil lagi dan beliau kerap memasuki koir, bersyair, berpidato, berpantun dan teater di sekolahnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan).

Pada 1976, Sudirman melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM). Pada 1980 beliau akhirnya menerima Ijazah undang-undang dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga.

Pada 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam setahun kemudian. Namun dia mengambil keputusan meninggalkan bidang guaman kerana lebih tertarik dengan bidang seni.

Dengan bakat dan kesungguhan, Sudirman berjaya menjuarai Bintang RTM 1976 dengan membawakan lagu Seruling Bambu dan Big Spender.

Selepas itu bermulalah era Sudirman sebagai artis rakaman dengan merakamkan album demi album. Sudah terlalu banyak persembahan dijayakannya dan ia ditonton pelbagai kaum.

Namun antara persembahan yang terhebat adalah konsert terbuka di Jalan Chow Kit pada 1986 yang ditonton ratusan ribu warga kota.

Dari segi repertoire, lagu-lagu Sudirman memang menyentuh pelbagai tema seperti cinta, kasih sayang, alam sekitar, isu semasa, adat budaya dan patriotik.

Antara lagunya Hidup Sederhana (Basikal Tua), Balik Kampung, Anak Gembala, Penyu Menangis Siapa Tahu, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Hujan, Bapa Tanggal 31, Chow Kit Road, Salam Terakhir, Punch Card dan One Thousand Million Smiles.

Sempena mengingati tanggal kelahiran penghibur kesayangan ramai ini, stesen satelit Astro mengambil inisiatif untuk memperingati sumbangan beliau dengan menganjurkan kempen akuSUDIRMAN selama sebulan bermula 11 Mei lalu.

Bekerjasama dengan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM dan Harian Metro selaku rakan media, acara ini mencipta sejarah tersendiri menerusi pelbagai acara dan program disajikan melalui TV, radio, tayangan filem dan konsert.

Pelbagai program mengisi saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV. Pada 3 Jun ini, Astro Ria menyiarkan filem Kami lakonan Sudirman jam 10 pagi diikuti Trek Selebriti Sudirman (2 petang), Cerita Artis Malaysia bersama Noorkumalasari (3.30 petang) dan Konsert Hore Hore Aznil (4.30 petang).

Astro Prima pula menayangkan Dokumentari Sudirman Arshad pada 27 Mei ini jam 4.30 petang dan Konsert Kenangan Sudirman (3 Jun jam 9 malam). Astro Awani tampil bersama program Kini Trending pada 19 Mei ini jam 8.15 malam dan Sudirman Menggapai Dunia (25 Mei, jam 9.30 malam) manakala Hitz TV bersama program Out and About pada 21 Jun jam 9.30 malam.

Pada hari ini juga, Sinar FM akan memainkan lagu-lagu Sudirman selama 24 jam selama sehari dan memberi penghormatan sebagai ‘Sudirman FM’. Buat semua peminat, satu konsert ‘tribute’ iaitu Konsert Kenangan Sudirman akan diadakan secara percuma di Stadium Bola Sepak Cheras pada 3 Jun ini.

Album Aku Sudirman Suatu Interpretasi hanya RM26.90

Aku Sudirman – Suatu Interpretasi

Khas bagi memeriahkan lagi kempen “Aku Sudirman”, pihak Astro dan Warner Music Malaysia kini berkolaborasi bagi menghasilkan sebuah album khas bagi mengingati seniman agung yang sangat dikenali dengan semangat patriotik, Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

“Aku Sudirman – Suatu Interpretasi” yang diriliskan pada hujung bulan ini boleh didapati dengan harga hanya RM26.90! Dengan membariskan artis-artis muda, album ini menampilkan lapan buah lagu Allahyarham Sudirman yang disuntik dengan elemen baru!

Berikut adalah senarai lagu daripada album “Aku Sudirman – Suatu Interpretasi”:

1. Punch Card – Altimet feat. DJ Fuzz

2. Salam Akhir – Awan Band

3. Toyol – Hujan

4. Merisik Khabar – Adira

5. Joget Kenangan Manis – Payslip

6. Warisan – Taxi

7. Balik Kampung – The Kebayas

8. Antara Hujan & Airmata – Saleem

Khusus buat peminat muzik tanah air, jangan ketinggalan untuk mendapatkan album tribute seniman idola ini di pasaran tidak lama lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Lagu RUMAH KITA Hujan

Teater Komedi Fauziah Nawi MARATHON