in

Al-Risaalah Musim Ke 3 di TV9

Al-Risaalah Musim Ke 3
fokus kepada Nabi Isa Ibn Mariam

Ahlan Wah Sahlan Ramadhan Al Mubarak yang akan menjelang tiba! TV9 sekali lagi akan menyajikan Al-Risaalah musim ketiga untuk santapan para penonton setia TV9, khususnya peminat rancangan Al-Risaalah. Dokumentari pendidikan Al-Risaalah yang disiarkan sejak 2006, telah memberi fokus kepada kisah Nabi Ibrahim a.s, bapa para nabi menerusi musim pertama, diikuti Musa Kalimullah bagi musim kedua. Kini menerusi musim ketiga, Al-Riasaalah lebih berinfomatif dengan memilih tema Isa Ibn Mariam.

Kesan runtuhan Kota di Pasargarde, Iran

Al-Risaalah yang mengandungi 30 episod ini akan mula disiarkan pada 22 Ogos 2009, dari jam 6.30 petang hingga 7.00 petang. Kali ini Al-Risaalah musim ketiga akan memperkatakan Rasul yang ke 22 iaitu Nabi Zakaria a.s sehingga Nabi Isa a.s, Rasul yang ke 24. Pemusatan siri kali ini ialah Nabi Isa a.s Ibn Mariam atau Isa bin Mariam. Selain daripada itu, seramai 10 Rasul utusan Allah yang tidak disebut oleh Al-Quran turut diperkatakan pada musim ini. Antaranya Nabi Haggai, Nabi Amos, Nabi Jeremiah, Nabi Nathan, Nabi Malakhi. Beberapa persoalan akan turut dikupas dan dijawab pada musim ketiga Al-Risaalah.

Menara Putih di Masjid Umawi Damsyik-masyarakat Islam mempercayai bahawa Nabi Isa A.S. akan turun dari langit di sini

Persoalan yang dirungkai lebih menjurus kepada Nabi Isa a.s seperti yang diperkatakan oleh Al-Quran dan menjadi rukun yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Nabi Isa a.s merupakan utusan Allah yang menjadi rasul terakhir untuk Bani Israil. Turut dipaparkan menerusi program mendidik ini adalah 12 sahabat Nabi Isa a.s. yang memasuki bumi yang dijanjikan iaitu Jerico (yang nama asalanya adalah Ariha). Juga dipaparkan 3 episod St. Paul, iaitu orang yang bertanggungjawab mengubah kandungan kitab Injil yang ada kini.

Silinder Cyrus – batu ini mencatatkan asas hak asasi pertama di dunia

Penjelajahan pada kali ini melibatkan Syria, Turki, Palestine dan Iran. Krew Al-Risaalah berjaya menyingkap titik pertemuan Agama Islam dan Kristian serta penjelasan mengenai siapakah Nabi Isa a.s dari sudut pandangan agama Islam berbanding agama Kristian, berlandaskan Al Quran. Antara lokasi penggambaran yang terlibat adalah tanah tinggi Epraim di pinggir kota Jerusalem untuk menjejak ke Makam Nabi Samuel. Seterusnya menuju ke Tekoa yang terletak 10 kilometer di bahagian selatan Jerusalem yang dikaitkan sebagai kampung asal Nabi Amos, pencarian makam Nabi Daniyal a.s. yang terletak di Tarsus, Turki dan makam Nabi Malakhi yang terletak di Jabal Zaitun di Baitul Maqdis. Krew Al Risalah ke kampung kelahiran Nabi Jeremiah dari Bukit Tell El Ful untuk meninjau lokasi penting di zaman pemerintahan Saul, Raja pertama Kerajaan Israel.

Berikut disertakan sinopsis 10 episod yang akan disiarkan dalam Al-Risaalah.
 
Episod 1 (21 Ogos 2009) – EPISOD PENGENALAN
Episod pembuka tirai ini akan memaparkan sedikit  sedutan tahun lepas iaitu berkaitan dengan kisah Nabi Musa Kalimullah. Paparan juga menyentuh mengenai  apakah yang bakal disiarkan kepada penonton setia Al Risalah tahun ini. Di bahagian akhir penunton akan melihat beberapa sedutan dan lokasi menarik yang bakal ditonton pada tahun ini

Episod 2 (22 Ogos 2009) – NABI YUSHA BIN NUN
Episod kedua menyentuh kisah Nabi Yusha bin Nun seorang pengikut setia Nabi Musa dalam usaha mencari ‘Bumi Yang Dijanjikan’. Nabi Musa yang menerima wahyu daripada Allah untuk bergerak ke Ariha telah membawa bersamanya masyarakat Bani Israil. Sepanjang perjalanan pelbagai peristiwa telah menimpa mereka. Episod kedua mengupas peristiwa-peristiwa tersebut. 

Episod 3 (23 Ogos 2009) – NABI SAMUEL
Episod 3 penggambaran lebih tertumpu kepada kompleks Makam Nabi Samuel yang terletak di tanah tinggi Epraim di pinggir kota Jerusalem. Nabi Samuel adalah nabi yang berkhidmat sebagai seorang penasihat ketika zaman Raja Ali Kahin, pemimpin Bani Israil.

Episod 4 (24 Ogos 2009) – NABI NATHAN
Tidak ramai yang mengetahui tentang kewujudan Nabi Nathan. Baginda adalah nabi di kalangan Bani israil yang berkhidmat pada era pemerintahan beraja yang pertama iaitu ketika zaman pemerintahan Nabi Daud atau Raja David, satu-satunya raja yang dipilih dikalangan nabi-nabi.

Episod 5 (25 Ogos 2009) – NABI AMOS DAN NABI HAGGAI
Krew Al Risalah menuju ke Tekoa yang terletak 10 kilometer di bahagian selatan Jerusalem yang dikaitkan sebagai kampung asal Nabi Amos.Walaupun namanya tidak disebut didalam Al Quran namun Nabi Amos telah memberikan sumbangan yang besar dalam menyampaikan dakwah di kalangan Bani Israil.Turut disentuh di dalam episod ini ialah Nabi Haggai yang di sebut di dalam kitab perjanjian lama sebagai golongan 12 nabi-nabi kecil di kalangan Bani Israil.

Epsiod 6 (26 Ogos 2009) – NABI ISAIAH DAN NABI MALAKHI
Krew Al Risalah menuju ke Esfahan mencari makam Nabi Isaiah yang terletak di tengah-tengah Bandar. Nabi Isaiah terkenal sebagai seorang nabi yang mampu meramal peristiwa di masa akan datang. Episod kali ini juga turut meninjau makam Nabi Malakhi yang terletak di Jabal Zaitun di Baitul Maqdis.

Episod 7 (27 Ogos 2009) – NABI JEREMIAH
Nabi Jeremiah dilahirkan di Anatot sebuah perkampungan kecil berhampiran Bandar baitul Maqdis. Krew Al Risalah meninjau kampong kelahiran Nabi Jeremiah dari bukit Tell El Ful lokasi penting di zaman pemerintahan Saul, Raja petama Kerajaan Israil.

Episod 8 (28 Ofos 2009) – NABI UZAIR
Episod 8 menyingkap kisah nabi Uzair yang ‘ditidurkan’ Allah SWT selama 100 tahun dan kemudiannya dibangkitkan kembali. Kisah Ini turut dikaitkan dengan Nabi Isa A.S yang mempunyai mukjizat membangunkan orang yang telah mati. Lokasi penggambaran ialah di Lazarus, pinggir Baitul Maqdis.

Episod 9 (29 Ogos 2009) – EMPAYAR PARSI
Salah satu empayar yang pernah menakluki Baitul Maqdis ialah kerajaan Persia. Raja Cyrus The Great mengamalkan dasar membenarkan Bani Israil pulang ke tanah air mereka selepas Berjaya menakluk kota Baitul Maqdis.

Episod 10 (30 Ogos 2009) – NABI DANIYAL
Penggambaran episod ke 10 tertumpu di Kota Tarsus bahagian selatan Turki bagi meninjau makam lama dipercayai milik Nabi Danial A.S. Ketika hayatnya Nabi Danial berkhidmat kepada seorang raja yang kejam dikenali sebagai Raja Bakthansir. Baginda turut disiksa oleh tentera Bakthansir dengan dipenjara bersama binatang buas dan berbisa.

Al-Risaalah musim ketiga ini diterajui oleh penerbit Nasir Yusof, pengarah Roslan Abdul Rahman, wartawan / skrip : Nasir Yusof, Pengacara Abd Halim Sulaiman serta jurukamera Mohd Isa Senawi dan Mohamed Ali Othman.

Khusus buat penonton setia TV9, pastikan petang anda terisi sepanjang bulan Ramadan ini dengan menonton Al-Risaalah “Isa Ibn Mariam”  mulai 22 Ogos 2009, Jumaat, jam 6.30 petang.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tips Sihat

Raikanlah Hari Kemerdekaan ke 52 bersama ntv7