Setelah hampir empat tahun berkecimpung di dalam industri muzik tanah air, Al-Manna bergerak selangkah lagi untuk membawakan genre Etnik Kreatif sebagai single terbaru yang merupakan suatu citarasa baharu lagi asing bagi halatuju Al-Manna.
Mendapat sentuhan melodi dari King Algebra, serta lirik dari Maestro lirik nasyid tanah air, ITO Lara membuatkan Al Manna begitu berkobar-kobar untuk menjayakan single ini.
Bercerita tentang melodi lagu, ianya telah diinspirasikan dari irama Spanish Flamenco dan Irama Tradisional Melayu Asli. King Algebra telah mengadunnya menjadi satu karya ‘masterpiece’ yang segar dan berwajah baharu untuk pembawakan Al Manna.
Mood melodi bagi single ini membawakan suasana perang dan kebangkitan di samping ada kelmbutan dan kesedihan, bersesuaian dengan cerita yang ingin dibawakan. Hasil perbincangan bersama Al Manna dan King Algebra, maka terhasillah melodi yang sedemikian rupa.
Berkenaan lirik pula, saudara Firdaus Al Manna telah mengutarakan cadangan kepada saudara ITO Lara untuk menulis tentang kisah seorang nabi bernama Syam’un Al Ghazi yang jarang didengari hikayatnya di dalam masyarakat kita tetapi sangat besar pengajaran yang dapat diambil.
Berbekalkan kitab Mukasyafatul Qulub, Durratun Nasihin dan Qisasul Anbiya’, lirik single ini disiapkan dengan mengambil kira sumbernya dan penyusunan kronologi peristiwa.
Walaupun ada beberapa pendapat yang mengatakan ada sebahagian hikayat Syam’un Al Ghazi adalah dari sumber Ahli Kitab, namun bukan itu yang ingin disampaikan di sini, tetapi hikmah dan pengajaran yang ingin diambil dan ditunjukkan kepada semua pendengar. Lebih manis lagi, lirik ini telah dihadiahkan kepada Al Manna membuatkan kami begitu bersemarak untuk menjayakan single ini sebaik mungkin.
Berikut merupakan individu-individu yang turut sama menjayakan single Syam’un Al Ghazi :
1) Penulis Lagu: King Algebra
2) Penulis Lirik: Ito Lara
3) Susunan muzik: King Algebra
4) Percussions: Pa’ang Zaman
5) Flamenco Guitar: Shukri Nordin
6) Strings Quintet:
Violin 1 – hadi razli
Violin 2 – izzywan musib
Viola – faridzz roli
Cello – aidil jill
Double bass – paly alizan
7) Susunan Strings : Faridzz Roli
8) Susunan suara: Firdaus Almanna, King Algebra & Fadzli Far East
9) Susunan Koir: Mai Fusionista
10) Koir: Amira dan Mai Fusionista
11) Suara Latar: Al Manna
12) Penyanyi Utama: Al Manna
13) Narasi: Sahib Ayib
14) Model Cover Single & Video Lirik : Haniff Razak
15) Penerbit Eksekutif: Firdaus Arshad
16) Penerbit: King Farhan
17) Mixing: King Farhan
18) Mastering:King Farhan
19) Studio Rakaman: Inteam Studio dan B’sync Production.
DAW: Apple Logic Pro X, Stienberg’s Cubase 6 dan Pro Tools HD X
20) Design & Video Lirik : Rxeme Studio
Single Syam’un Al Ghazi bakal menemui semua pada hari Jumaat ini (2 Jun 2017) pada jam 10 malam waktu Malaysia di channel Inteam Records dan semua platform digital (Apple Music, iTunes, Spotify, Joox, dan Deezer).
Semoga single Syam’un Al Ghazi akan menjadi ‘pembuka mata’ kepada semua yang mendengarnya untuk mengambil iktibar dari pengorbanan para nabi yang terdahulu, dan bertambahnya semangat untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang terbaik serta mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadan nanti untuk mengejar Lailatul Qadar, seiring hikmah pengorbanan Syam’un Al Ghazi.
Lirik Syam’un Al Ghazi:
Sahabat berkumpul di Ramadan itu
Mendengar kisah dari Rasulullah
Riwayat seorang nabi yang termahsyur
Syam’un Al Ghazi
Kegagahannya yang dicemburui
Kekuatannya melembutkan besi
Menghunus rahang unta Liha Jamal
Membunuh semua musuh yang menentang
Kehebatan itu adalah mukjizat
Kelemahan pula ada di rambutnya
Memasuki syurga berseorang diri
Kerana dirinya sering dimusuhi
Hatta isterinya yang rakus haloba
Membantu musuh untuk memerangkapnya
Dengan tipu helah muslihat yang jahat
Akhirnya berjaya diikat dengan rambutnya yang panjang
Bila dia terjaga dari lena
Seutas tali mengikat dirinya
Dengan mudah dia meleraikannya
Terbukti kekuatannya
Esoknya dia terikat lagi
Dengan rantai yang lebih teguh dan kuat
Ikatan itu mudah juga lepaskan
Kecuali diikat dengan helai rambutnya
Tiada yg mustahil dalam kehidupan ini selagimana kita menyandarkan pengharapan pada Allah. Keajaiban akan menjelma seperti yang berlaku kepada Syam’un Al Ghazi sehingga Allah memakbulkan segala permintaan baginda. Sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu, di sisi Tuhannya, tiada hijab.
Kaki dan tangannya telah dipotong
Telinga dikerat dan bibir dihiris disayat
Kedua matanya ditikam dan dibutakan
Dia diperlakukan dengan kejam
Mengadu Syam’un kepada Allah
Agar mendapat kekuatan semula
Dan memulihkan semua anggota
Yang terpisah dari badan
Lalu Allah memakbulkan doa
Terputuslah rambut yang mengikatinya
Robohlah istana menimpa raja, rakyat serta isterinya
Setelah berakhir episod duka Syam’un bertaubat menebus dosa
Malam beribadah siang berpuasa Sehingga ke akhir hayatnya
Dikalangan sahabat ada yang bertanya
Berapa banyakkah jumlah pahalanya
Dengan rasa terharu Rasul pun berkata
Hanya Allah saja yang mengetahuinya
Di malam Al Qadar telah diwahyukan
Burulah kelebihan malam seribu bulan
Semoga mendapat pahala berganda
Seperti diraih Syam’un Al Ghazi.