Ternyata bait-bait lagu, “Kembara berjalan bersendirian, Mencari jalan pulang, Bilakah masanya embunkan menjelma, Di tanah gersang yang membakar…” bertajuk Kembara Di Tanah Gersang yang seringkali berkumandang di radio sekitar tahun 1979 masih diingati. Sebenarnya apa cerita terbaru dan perkembangan kumpulan tersebut? Apakah mereka akan merakamkan lagu-lagu baru? Apakah kumpulan ‘otai’ atau ‘legend’ nasyid itu akan kembali mewarnai landskap nashid tempatan?
Al-Jawaher Kembali Ubati Rindu Peminat Dalam “Dimensi Legenda” Tema Pengorbanan Aidiladha Ini di TV1
Cuba mengubati kerinduan peminat terhadap suara lunak merdu mereka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan program “Dimensi Legenda” pada 22 Ogos ini, pukul 10.00 malam di TV1 yang menampilkan anggota kumpulan Al-Jawaher berkongsi pentas dengan artis lain termasuklah Kumpulan Raihan, Aris Ariwatan, Lah Ahmad, dan Raqib Majid.
Menampilkan Raja Azura sebagai hos program,dan Ustaz Fuad Mohktar sebagai selebriti undangan, rancangan hiburan santai yang disiarkan sempena Hari Raya Aidiladha ini mengangkat tema pengorbanan yang dilihat bertepatan dengan penyampaian lagu-lagu malar segar bergenre ketuhanan.
Diringi tarian Kumpulan Alam Dancers, kesemua lagu-lagu persembahan merupakan lagu-lagu ketuhanan dan kemanusiaan. Lagu-lagu malar segar yang masih diingati dan bakal dipersembahkan termasuklah “Kembara Di Tanah Gersang”, “Perjalanan”, “Permaidani”, “Doa”, “Penantian”, “Puji-Pujian”, “Syukur”, “I’ktiraf”, dan “Haji Menuju Allah”.
Program ini diterbitkan oleh Ain Sabrina On, Unit Hiburan TV RTM.
Konsert ini telah dirakamkan pada 21 Julai lalu bertempat di Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Penonton boleh mengikuti siaran ulangan program ini pada 26 Ogos, pukul 9.00 malam di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.