Pelakon yang popular menerusi drama Iron Man dan The Girl Who Sees Smell, Shin Se Kyung tampil memberikan penjelasan selepas namanya dikaitkan dengan skandal pelacuran melibatkan selebriti wanita di Korea Selatan.
Soompi melaporkan Se Kyung menerusi syarikat pengurusannya iaitu Namoo Actors menegaskan dia tidak pernah terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai berniat jahat.
“Se Kyung tidak pernah terlibat dalam skandal berkenaan seperti didakwa dan tuduhan berkenaan amat berat dan memberi kesan buruk bukan sahaja kepadanya tetapi keluarganya,” kata wakil syarikat berkenaan.
Terdahulu, industri seni di Korea Selatan menjadi kecoh apabila timbul dakwaan beberapa artis wanita terlibat dalam skandal pelacuran.
Lebih mengejutkan dua artis wanita yang dikenali sebagai ‘C’ dan ‘L’ tampil memberikan kerjasama terhadap siasatan pihak polis.
Dalam pada itu, wakil agensi berkenaan turut memberitahu pihak mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang cuba menyebarkan berita tidak benar terhadap Se Kyung.
“Komen negatif daripada peminat adalah perkara biasa dan ia harga yang perlu dibayar oleh seseorang selebriti.
“Bagaimanapun menerusi kes ini ia satu tuduhan sangat berat dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan fitnah terhadap Se Kyung,” katanya lagi.