Aksi Superhero Will Smith Dalam Filem Hancock Di TV2
Dirinya dikenali sebagai superhero namun kerana kecuaian dan tindakan di luar kawalan setelah mengambil minuman keras yang berlebihan membuatkan dirinya kemudian menjadi individu yang paling dibenci di Los Angeles.
Begitulah karektor dimainkan aktor terkenal Will Smith dalam menghidupkan watak John Hancock mengisi plot filem Hancock (2008) yang bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2 Mac 2013, jam 11.00 malam di TV2.
Selain menampilkan Will Smith sebagai watak utama menggarap filem arahan Peter Berg ini, ia turut menampilkan pelakon Charlize Theron (Mary), Jason Bateman (Ray), Jae Head (Aaron), Eddie Marsan (Red) dan David Mattey (Man Mountain).
Kisahnya digerakkan dengan perjalanan watak Hancock yang walaupun telah menyelamatkan banyak nyawa, namun dia juga telah memusnahkan banyak harta berharga yang nilainya jutaan ringgit ke setiap bandar yang dikunjunginya.
Hinggalah satu hari Hancock telah berjaya menyelamatkan kehidupan pakar PR Ray Embrey dari arah depan kereta api. Tindakannya itu tanpa disedari berjaya membuka ruang untuk membersihkan nama baiknya yang telah tercemar bila mana eksekutif itu dengan rela hati menyatakan hasrat dan berkeyakinan bahawa dia mampu untuk memulihkan imej Hancock sebagai superhero yang sebenar.
Ray Embrey kemudiannya telah membawa pulang Hancock untuk diperkenalkan kepada keluarganya dan sebagai penghargaan kerana superhero itu telah menyelamatkan dirinya daripada kecelakaan tersebut.
Ketika jamuan makan malam itu, anak lelaki Ray Embrey iaitu Aaron begitu teruja bertemu Hancock yang begitu dikaguminya kerana kemampuan superhero itu berdepan musuh demi menyelamatkan orang ramai yang tidak bersalah.
Begitu pun kehadiran Hancock ke rumah itu tidak disenangi oleh isteri Ray Embrey, Mary. Namun Mary enggan berterus-terang punca sebenar dia tidak mahu lelaki itu mendekati keluarganya. Malah tidak mahu suaminya membantu Hancock untuk membersihkan namanya semula.
Atas sebab apakah Mary berkelakuan sebegitu? Apakah ada cerita yang disembunyikan oleh Mary tentang Hancock atau pun dia enggan dipinggirkan masyarakat kerana cuba membantu lelaki penyelamat yang semakin dipinggirkan itu?