in

Aksi Sukan Berbasikal Dalam Program AKSI RODA

Aktiviti sukan berbasikal semakin mendapat tempat di mata dunia. Berbasikal bukan sahaja sudah menjadi harapan negara dalam temasya sukan, malah menjadi satu aktiviti riadah yang sihat. Di samping dapat memperbaiki tahap kesihatan diri, aktiviti ini juga mampu mengeratkan hubungan sesama manusia.

Justeru itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan sebuah program bertajuk “Aksi Roda” bersiaran mulai 25 April ini, pukul 11.30 malam di TV1. Program 13 episod ini menyelami dunia berbasikal dan gaya hidup penggunanya dalam medium yang berbeza mengikut minat, tujuan dan inspirasi masing-masing.

Pintu masuk ke Gua Ikan

Bersama pengacara Mohd Saiful Bakri menyelami dunia pelbagai jenis basikal antaranya BMX Freestyle, BMX Racing, Mountain Bike, Track Bike/Racing Bike, Basikal Lebuhraya, Basikal Drift, Beca, Fixie, Touring Bike, Basikal Lipat, Basikal Dispatch, Basikal Profesional di samping pandangan daripada pembuat basikal.

Episod pengenalan menyaksikan pengacara mengikuti program “Hari Bebas Kereta” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Dataran Merdeka. Beliau sempat menemubual Encik C.K.Lee dengan basikalnya yang telah diubah suai dan Encik Mad Rashid Omar dengan basikal lipatnya.

Pengacara kemudiannya menemuramah YBhg. Datuk Ng Soo Ngan, tokoh ikon basikal negara merangkap jurulatih basikal kebangsaan. Beliau sempat mendapatkan tips untuk menjadi seorang pelumba basikal yang berjaya. Turut dipaparkan sekumpulan kanak-kanak yang melakukan aktiviti perlumbaan dengan menggunakan Push Bike.

Episod seterusnya membawa penonton mengayuh Mountain Bike meninjau kehijauan di sekitar Bukit Fraser. Basikal ini sesuai digunakan untuk menaiki atau menuruni bukit. Di sana mereka bertemu dengan kumpulan MTB Funride, diketuai oleh Mohd Zaidi Abdul Malik dari Kelantan yang datang memberi sokongan padu kepada pasukan pelumba basikal Malaysia yang menyertai Le Tour De Langkawi.

Kemudian penonton dibawa pula ke Taman Warisan Putrajaya bersama dengan Tuan Syed Munawar Syed Muhamad salah seorang pelumba basikal lasak. Beliau memberi tips kaedah penjagaan dan mengendalikan basikal jenis itu terutama ketika menuruni bukit semasa perlumbaan.

Pengacara singgah pula di Pulau Pinang untuk mengenali sejarah awal penggunaan basikal di negeri tesebut. Beliau kemudiannya menemuramah Encik Abdul Shukur Mohd Yunos, salah seorang penarik beca yang masih aktif di Bandaraya Pulau Pinang.

Dari Pulau Pinang pengacara terus ke Melaka meninjau penggunaan beca di Negeri Melaka dan menemubual Encik Mark Begner Pereira, salah seorang penarik beca berhias di Bandaraya Melaka. Di sini penggunaan beca lebih kepada membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Bandaraya Melaka. Hasil temubual pengacara dengan Encik Saw Chan Choon, pembuat beca, menyatakan bahawa beca baru yang dipasang dapat disiapkan dalam tempoh antara tiga hingga empat minggu bergantung kepada corak hiasannya.

Menarik dalam episod seterusnya, dipaparkan pengembaraan ke satu tapak perkhemahan dengan menunggang Mountain Bike. Beliau kemudian menemuramah Puan Saidatul Nurhaniza, Shahrizan Daud dan Azhari Hassan dari kumpulan Geng Budak Hitam mengenai pembahagian masa mereka antara kerjaya dan memenuhi tuntutan minat mereka berbasikal.

Seterusnya penonton dibawa berbasikal ke Port Dickson menyusuri kawasan-kawasan perkelahan yang menarik bersama Encik Mohd Hafidz Abd Hamid, seorang pelumba basikal sambil menimba pengalaman pahit manisnya semasa beliau mengayuh menjelajah ke 11 negara dengan berbasikal.

Sekali lagi Dataran Medeka menjadi destinasi pilihan pada episod kali ini. Beliau mendapatkan tips daripada Nor Effendy Rosli, seorang bekas pelumba basikal negara yang pernah menggondol pingat emas Sukan Sea, pingat perak Sukan Komanwel dan pingat gangsa Sukan Asia.

Pengacara seterusnya bersama Unit Berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Mohd Azri Abu Talib, Nurul Syazreen Jan dan Hamri Parman yang menggunakan basikal jenis taktikal ketika menjalankan tugas. Menurut mereka agak sukar untuk mengendalikan basikal jenis ini jika tidak menjalani latihan khas. Sebab itu ia hanya digunakan oleh badan-badan penguatkuasaan sahaja dan tidak kepada umum.

Bersama Team Fat Bike Malaysia dalam episod seterusnya. Fat Bike popular di negara-negara yang mempunyai empat musim. Dengan bentuk rangka dan rodanya yang bersaiz besar, ia sesuai digunakan pada semua musim terutama musim sejuk bersalji. Di Malaysia, ia amat sesuai digunakan di semua kawasan sama ada kawasan berbukit, berpasir, atau berlumpur.

Selepas itu pengacara membawa penonton ke Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bertemu dengan pembuat basikal Custom Bike iaitu Ali Ahmad atau Amat dengan rekaan basikal tiga tempat duduk dan Azizi Mat Johor dengan rekaan basikal yang dibuat daripada bahan terbuang.

Saksikan paparan selanjutnya mengenai basikal kereta berhias, basikal Fixie, basikal klasik, Drift Bike, BMX, Basikal Kembara dan Basikal Velodrom dalam “Aksi Roda” di saluran TV1.

Natasha melakukan aktiviti lasak di Air Terjun di Gunung Stong

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Natasha dalam perjalanan ke Gua Kota Gelanggi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Keunggulan Puitisme Dalam Nada Puitika

Tiga Sahabat Jadi Laksamana Dalam Laksamana Do Re Mi