“Saya dah buat yang terbaik untuk rehearsal tetapi saya tidak dapat semangat lagi. Saya rasa saya bukan level Izzue Islam dan Taufiq Hanafi…” begitulah luahan hati Mawar Rashid sebelum bermulanya episod kedua Perang Bibir, program terbaharu TV9 yang menampilkan 24 artis popular berperang melakukan persembahan lip sync lagu-lagu hits dari carta lagu tempatan dan antarabangsa.
Anggap dirinya kerdil untuk berperang dengan Izzue Islam dan Taufiq Hanafi, Mawar Rashid tidak menyangka idea menggabungkan aksi Muay Thai dalam persembahan lagu hits Korea “I am the best – 2NE1” dan lagu popular Stacy, ‘Not For Sale’ telah menewaskan Izzue dan Taufiq seterusnya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Bertemakan ‘K Pop’, episod kedua menyaksikan Izzue Islam, Mawar Rashid dan Taufiq Hanafi bergaya sebagai bintang K Pop popular di pentas Perang Bibir. Taufiq Hanafi yang tiada pengalaman dalam bernyanyi dan menari telah mencabar dirinya dalam lagu hits TaeYang iaitu Ringa Linga manakala Izzue Islam pula tidak menghampakan peminatnya dengan pilihan lagu popular GD dan TaeYang iaitu Goodboy.
Mawar Rashid telah mendahului Izzue Islam dan Taufiq Hanafi dalam segmen pertama iaitu persembahan lip sync bertema. Seterusnya, para contender perlu meneka bibir milik siapa dalam mini game ‘Bibir Siapa’. Mawar berjaya mengumpul mata paling banyak dalam cabaran ini. Mini game kedua iaitu ‘tiupan tisu’ pula meraikan Taufiq sebagai pemenang yang turut diberikan ganjaran besar iaitu pasukan sorakan yang akan bersorak di segmen akhir.
Segmen terakhir iaitu Lip sync spontan menguji kreativiti para contender untuk melakukan persembahan berdasarkan cabutan lagu dari kotak yang disediakan. Izzue telah mendapat lagu ‘Laskar Pelangi’ (Nidji), Mawar dengan lagu ‘Not For Sale’ (Stacy) manakala Taufiq pula dengan lagu popular Taylor Swift, ‘Shake It Off’.
Juara pada pusingan kelayakan diberikan ‘kuasa’ untuk mencabar seorang selebriti ke Perang Bibir. Mawar Rashid telah memberikan keistimewaan kepada Sherry Alhadad yang mahu mencabar rakan baiknya, Zulin Aziz untuk bergelar sebagai contender Perang Bibir. Ingin tahu apakah yang akan dipersembahkan pada episod 3, nantikan siarannya pada 16 Mac 2017.
Secara am, format program Perang Bibir dibahagikan kepada 3 pusingan iaitu pusingan kelayakan (episod 1-8), pusingan separuh akhir (episod 9 -11) dan pusingan akhir (episod 12). Selain 8 pemenang yang berjaya di pusingan kelayakan, contender yang tersingkir masih mempunyai satu peluang untuk menyertai pusingan separuh akhir sebagai peserta wild card. Di pusingan separuh akhir, hanya 9 contender akan bertanding untuk merebut 3 tempat di pusingan akhir di mana hadiah wang tunai sebanyak RM 30,000 dijadikan taruhan.
Pusingan kelayakan yang disertai oleh 3 orang contender pada setiap episod dengan tema yang berlainan mempunyai 3 cabaran iaitu persembahan lip sync bertema, mini game dan persembahan lip sync spontan.
Mata persembahan lip sync bertema daripada carta lagu tempatan dan luar negara ditentukan oleh sorakan penonton studio. Contender masih boleh mengejar mata dalam 2 mini game di cabaran kedua. Contender yang menang di peringkat ini akan mendapat kelebihan untuk digunakan di peringkat ketiga iaitu persembahan lip sync spontan. Contender dengan mata terkumpul yang paling tinggi akan mara ke pusingan separuh akhir.
Sidang produksi Perang Bibir diketuai oleh Nazatul Fariz Mohd Aziz sebagai penerbit eksekutif serta Daniel Chan, Saidatul Akmar Mohd Shah dan Ahmad Azahari Mohamad Ali sebagai penerbit.
Berhibur dengan 24 artis popular dalam Perang Bibir pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam selama satu jam di TV9. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia. Gunakan hash tag #PerangBibir untuk menghangatkan perbualan tentang program ini di laman media sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini di portal video nombor Satu Malaysia, tonton.com.my