“Aafiyah nak baby ni,” itu reaksi spontan anak kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah, dua tahun, menerusi sesi siaran langsung di Instagram penyanyi itu pada Khamis malam lepas.
Menerusi video berkenaan juga menunjukkan Aafiyah beberapa kali mencium perut ibunya dalam keadaan gembira dan teruja.
Perkara itu menguatkan spekulasi isteri kepada ahli perniagaan Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa, 61, itu kini berbadan dua selepas mengumumkan berehat daripada industri hiburan buat sementara waktu.
Malah, aksi Aafiyah itu seolah-olah memberi ‘hint’ sekali gus membuatkan Siti tidak mampu menghalang anaknya untuk terus mencium perutnya.
Diruangan komen rata-rata netizen mengatakan Aafiyah seolah-olah memberi ‘petunjuk’ bahawa Siti Nurhaliza kini sedang hamil.
Malah, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah meskipun tiada respon daripada Siti sendiri mengenai spekulasi berkenaan.
Siti dalam kenyataan sebelum ini juga mengumumkan untuk berehat daripada industri hiburan buat sementara waktu.
Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro Siti mengakui merancang untuk menimang cahaya mata kedua tahun ini.
Dalam kenyataan itu, Siti akan mendapatkan nasihat doktor kerana perlu melalui proses rawatan kesuburan, In vitro fertilisation (IVF) sama seperti anak sulung.
“Insya Allah, sebab saya pun usia makin meningkat. Saya menyasarkan sebelum usia 43 tahun. Walaubagaimanapun saya tetap menjalankan apa yang doktor sarankan dengan mengikut segala prosuder sama macam dulu iaitu IVF.
“Sebab masa buat dulu saya masih ada embrio yang disimpan. Jadi, insya Allah. Ini semua rezeki Allah. Kalau letak, ia menjadi, begitulah sebaliknya.
“Apa pun, saya berserah pada Allah. Kalau Allah kata ada rezeki lagi, saya bersyukur. Kalau tidak ada pun, tidak mengapa. Ini kerana, Aafiyah satu-satunya doa yang saya menanti setelah sekian lama. Paling penting, saya kena fikirkan kesihatan saya juga,” katanya.
Menguatkan lagi spekulasi apabila Siti mengambil keputusan untuk tidak terbabit sebagai juri tetap pada program realiti, Big Stage musim ketiga.
Perkara itu diakui Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, ketika sidang media program itu yang menyatakan ketiadaan Siti atas permintaannya yang ingin berehat buat seketika.