in

Ako Mustapha Kahwin Tunang Orang?

SIFAT Tina yang sanggup berkorban apa sahaja demi keluarganya antara faktor yang menyebabkan Ako terpikat dengan wanita ini.

MENGIKUT perancangan awal, upacara pernikahan aktor terkenal, Ako Mustapha bersama pasangan iaitu Kartina Abdullah, 29, sepatutnya berlangsung dalam kemeriahan Hari Raya Aidilfitri lalu.

Namun, disebabkan sibuk dengan komitmen kerja sebagai anak seni, Ako bagaimanapun terpaksa memendamkan seketika hasrat bagi menyunting bunga idaman di taman yang digelar dengan panggilan manja sebagai Tina.

Ako yang kelihatan sedikit berisi berterus-terang, saat mahu mendirikan bahtera rumah tangga, ia seolah-olah mengundang bermacam perkara dalam diri.

“Biasalah, kalau orang yang hendak berkahwin, barangkali ada yang kelam-kabut dan tidak dapat menguruskan tiap perkara dengan baik.

“Sepatutnya kami berkahwin sebulan lepas, namun disebabkan perlu menyiapkan bermacam tugasan lakonan, jadi kami mengambil keputusan untuk menangguhkan terlebih dahulu.

“Saya juga bimbang sebab ada beberapa persiapan belum dilaksanakan untuk meneruskan majlis perkahwinan ini.

“Lagipun saya ada terdengar cakap-cakap orang yang berada di sekeliling bahawa tidak bagus untuk berkahwin jika terlalu risau.

“Justeru, saya dan Tina ambil keputusan untuk merealisasikan majlis pernikahan kami awal tahun depan,” jawab Ako ringkas menjelaskan perkara sebenar ketika ditemui pada pelancaran drama penyiasatan kanak-kanak, Kapten Boleh di Cathay Cineplexes, Cineleisure, Damansara baru-baru ini.

Sambung Ako, upacara bersejarah dia dan Tina dijangka akan berlangsung Januari 2009, cuma tarikh sebenar masih belum ditentukan.

“Saya berharap peminat dapat bersabar dengan majlis perkahwinan kami. Insya-Allah, ia tetap bakal dilangsung awal tahun depan.

“Saya merasakan saya boleh menjadi suami yang baik. Saya memang sudah bersedia, malah telah menemui wanita hebat ini,”bicara Ako sambil matanya terus mengerling ke arah Tina.

Begitu romantisnya dua jiwa dengan satu cinta yang luhur ini. Dalam temu bual ini rancak diadakan, sesekali Ako sempat mengusik Tina sambil meluahkan ayat “I Love You”.

Tina pula yang sedikit malu apabila diungkap madah cinta di depan khalayak itu sekadar tersenyum manis dengan gelagat Ako.

Ako menemui cinta baru selepas melalui pelbagai ranjau serta onak berduri di alam percintaan.

SUDAH sampai masanya, Ako dan Tina menempuhi gerbang perkahwinan. Mereka mulai menjadi intim sejak hampir dua tahun setelah berkenalan di Sabah bermula Januari 2007.

Diminta mengulas lebih lanjut tentang keistimewaan wanita bernama Tina ini menerusi kaca mata seorang lelaki bernama Ako, mudah sahaja jawapan aktor kacak ini.

“Tina merupakan wanita yang kelihatan hebat segala-galanya menerusi pandangan dan dalam hati saya. 

“aling saya ingati tentang perangai dia apabila Tina sanggup berkorban semua perkara untuk famili melebihi dia lakukan untuk diri sendiri.

“Itu ciri utama yang saya nampak dia betul-betul istimewa tanpa ada bandingannya. Tina tidak datang dalam keluarga senang, malah familinya menjalani kehidupan yang sukar sebelum ini.

“Saya lihat sendiri Tina adalah individu bertanggungjawab, lantas menjalankan tugas sebagai anak dengan begitu baik sekali.

“Saya memang kagum dengan semangat tinggi yang menebal dalam diri dia,” akui Ako sambil mengukir senyuman yang cukup manis.

Bukan Ako sahaja yang selesa bersama Tina, sebaliknya hampir keseluruhan keluarga Ako juga menyayangi Tina.

“Famili saya memang menyukai dia, malah keluarga saya lebih gembira dengan kehadiran Tina berbanding dengan kesemua bekas teman wanita yang pernah saya ada sebelum ini.

“Bayangkanlah, Tina boleh rapat dengan ahli keluarga dan saudara-mara yang lain. Ada waktunya mereka akan mempelawa Tina dalam satu-satu majlis tanpa melibatkan saya.

“Sampai saya sendiri pelik dengan keadaan tersebut, namun syukurlah sebab Tina diterima dengan baik dan sepenuh hati daripada keluarga saya.

“Itulah yang membuatkan saya cukup seronok dan terharu menyaksikan perkembangan positif itu,” luah Ako teruja.

Pegang watak kelakar

Kalau sebelum ini Ako terbiasa memegang karakter lelaki jiwang yang menumpahkan seluruh cinta buat wanita yang disayangi, lain pula halnya kali ini menerusi Kapten Boleh.

Tiada lagi egoistik naluri seorang lelaki yang sentiasa menjaga perlakuan dan bermadah pujangga, sebaliknya Ako melibatkan diri dalam sebuah drama komedi untuk saluran Astro Ceria.

PENUH berkeyakinan dia bakal menjadi suami yang baik. Ako membawa watak Awie, pemandu teksi yang bersikap kebodohan dalam menjalankan sesuatu tugasan diamanah.

“Awie adalah lelaki yang dilahirkan dengan memiliki pelbagai kuasa luar biasa yang berubah-ubah pada setiap masa serta bersahabat dengan tiga sahabat cilik; Aiman, Fatin dan Ijam.

“Drama Kapten Boleh adalah kali kedua saya bekerjasama dengan kanak-kanak. Sebelum ini saya ada pengalaman berlakon dengan budak kecil, namun ia sekadar watak biasa.

“Bezanya dalam Kapten Boleh, saya berlakon dengan ramai kanak-kanak, ditambah dengan sasaran penonton yang lain.

“Astro Ceria memang terkenal di kalangan penonton pada peringkat umur ini. Drama ini mencabar fizikal saya apabila saya perlu menjadi seorang lelaki yang bermain dengan gaya luaran.

“Kalau sebelum ini dalam drama saya asyik memegang watak emosi, kini semua itu tidak lagi terlihat dalam Kapten Boleh disiarkan setiap Sabtu, pukul 12.00 tengahari bermula 22 November ini.

“Saya bersyukur dapat berlakon dengan menampilkan sisi lain saya. Dengan lawak dan jenaka yang tidak kedengaran bodoh, saya harap drama ini bakal diminati audiens,” ujar Ako yang turut terlibat dengan beberapa projek drama lain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fazley Dapat Anak Lelaki

Paparan Unik ‘The Kampung Boy’ di Majalah 3