KUALA LUMPUR – Lima hari setelah bernikah dengan pasangannya di Sabah, aktor Ako Mustapha dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam setelah gagal menghadirkan diri bagi satu kes tuduhan khalwat yang dihadapinya.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhamad mengeluarkan perintah waran tangkap berkenaan setelah Ako tidak pernah menghadirkan diri ke mahkamah walaupun tiga notis saman telah diserahkan kepadanya manakala sebutan kes itu juga telah masuk kali keempat semalam.
Wan Mahyuddin kemudian menetapkan 3 Mac depan bagi kes itu disebut semula dan pertuduhan akan dibacakan kepada Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 37.
Ako didakwa berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, Anang Sagunting, 24, di pangsapuri Blok B-2-9, Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Jaya, Bukit Antarabangsa dekat sini pukul 1.30 pagi 27 Jun 2007.
Pertuduhan terhadapnya dibuat di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau hukuman penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ako yang dihubungi Kosmo! semalam memberitahu, dia telah cuba sedaya upaya untuk menghadirkan diri ke mahkamah tetapi tidak sempat.-KOSMO!