Tidak dinafikan sepanjang tempoh hampir dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, industri hiburan tempatan terutama arena muzik sunyi. Tidak banyak perkembangan baharu dilihat.
Enggan terus dibelenggu kesepian, penyanyi Akim Ahmad dan Stacy menerusi syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment mengorak langkah ke depan apabila menubuhkan kumpulan atau band iaitu DUNYA.
DUNYA yang secara rasminya ditubuhkan tahun ini dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Sharul Kamal selaku vokalis, Tuah Johari (bass) dan Odot (Dram). Menariknya, DUNYA juga baharu saja melancarkan single sulung mereka berjudul Kuala Lumpuh pada 17 September lalu.
Akim berkata, band DUNYA ditubuhkan hasil cetusan idea daripada vokalisnya, Sharul sekali gus menonjolkan sisi berbeza bekas peserta program Akademi Fantasia 2015 itu.
Malah, single Kuala Lumpuh hasil ciptaan bersama Hang Nadim, Bunga Cantik dan Amin serta lirik oleh Bunga Cantik itu bergenre Pop Rock.
“Band DUNYA lebih pada genre Pop Rock. Jadi, single pertama mereka Kuala Lumpuh juga bergenre sama. DUNYA ditubuhkan atas keinginan Sharul untuk bergerak dengan band.
Jadi, saya dan Stacy bersetuju dan suka dengan keputusan itu.
“Mungkin ini antara satu kreativiti yang nak ditonjolkan Sharul dalam berkumpulan. Kami pun cuba dapatkan ahli kumpulan lain, malah mereka gembira apabila dapat tahu vokalisnya ialah Sharul. Nama kumpulan hasil cetusan Stacy. Lama juga fikir nama kumpulan.
“Lirik lagu Kuala Lumpuh ini cetusan daripada Bunga Cantik, yang mana sepanjang hampir dua tahun ini kita melalui fasa pandemik Covid-19. Perkara ini sedikit sebanyak memberi impak pada semua. Apa yang berlaku adalah sejarah buat seluruh dunia. Sebagai orang yang melihat proses penulisan lagu ini, saya berasakan sangat teruja dan gembira dapat bekerjasama dengan Bunga Cantik. Dia mempunyai idea yang dasyat selain bakat dimiliki oleh anggota kumpulan DUNYA,†katanya.
Menurut Akim, dia juga mempunyai rancangan masa panjang buat band DUNYA selain mahu menerbitkan album buat mereka.
“Perancangan akan datang untuk DUNYA, kita merancang untuk proses rakaman lagu lain dan sedang kumpul material. Insya-Allah jika ada rezeki dan mudah-mudahan dapat terbitkan album untuk mereka.
“Harapan saya semoga perjalanan DUNYA ini lebih jauh dan diterima baik oleh semua peminat muzik tempatan. Semoga kemunculan single pertama mereka juga mampu memperkenalkan lagi DUNYA kepada penggemar muzik tempatan,†katanya.
Sementara itu, Sharul Kamal berkata idea untuk bergerak secara berkumpulan sudah lama dan tidak menjangka ia disambut baik oleh Stacy dan Akim.
“Idea nak menubuhkan band ini sudah lama. Saya memang teringin nak buat persembahan atas pentas bersama band. Sebab sebelum ini saya pernah ikut Drama Band dan Akim & The Majistret menjadi kru. Jadi banyak saya belajar mengenai band. Dari situ saya mengumpul segala semangat dan ilmu daripada mereka selama beberapa tahun untuk saya nak menubuhkan band.
“Cuma sebelum ini masa tak sesuai dan rezeki pun belum sampai. Alhamdulillah, Allah kabulkan permintaan saya tahun lepas. Ketika berjumpa Stacy, saya cakap nak buat sesuatu yang baru. Lagi pula saya sudah bergerak solo lebih kurang enam tahun sejak keluar AF2015.
Jadi saya berasakan kena buat sesuatu yang lain. Bukan saja konsep, tapi dari segi muzik yang nak dibawa juga kena baru. Itu yang tercetusnya idea nak menubuhkan band DUNYA.
“Ketika itu masih belum ada lagu, baru ada idea nak buat band saja. Saya pun kuatkan hati cakap pada Stacy. Kebetulan dia pun setuju sebab dia ada perancangan sama untuk saya. Jadi kami cari dan kumpul anggota kumpulan,†katanya.
Menurut Sharul, dengan tertubuhnya band DUNYA dia menyifatkan impian dan azamnya selama ini sudah tercapai.
“Alhamdulillah selepas macam-macam dugaan, rintangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terhasillah lagu Kuala Lumpuh dan dapat juga menyiapkan video muzik (MV). Alhamdulillah, azam saya nak ada band tercapai.
“Bukan sebab tengok orang lain ada band, saya nak ada band juga, tidak. Sebab saya pernah bekerja dengan band lain, jadi saya dapat rasa kena ada sesuatu atau geng. Lagi pun saya ingat lagi kata-kata bekas pengetua AF 2015dulu, Edry KRU, dia pernah cakap karakter saya lebih sesuai dengan band. Masa itu saya masih lagi kosong dalam bidang ini dan tak faham apa dia cakap.
“Jadi apabila sudah lama dan kenal ramai orang dan dapat banyak input, semakin lama saya kenal diri, jadi saya okay dan berasakan sampai waktu nak bergerak dengan band pula. Tak bermaksud saya tidak lagi bergerak solo, tapi buat masa sekarang fokus pada band. Andai kata ada projek solo, saya tetap akan buat,†katanya.
Single pertama dan video muzik rasmi lagu Kuala Lumpuh sudah dilancarkan secara rasmi pada 17 September lalu di saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment. Sehingga kini, MV itu sudah mencecah tontonan lebih 100,000.